A+ A A-

Makanan Percuma Untuk Pelajar Asnaf Sepanjang Minggu Peperiksaan

Kangar, 18 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyediakan makanan percuma untuk pelajar-pelajar di bawah kategori B40 dan asnaf sepanjang minggu peperiksaan berlangsung bagi memastikan para pelajar mendapat makanan yang mencukupi dalam menghadapi proses ulang kaji pelajaran dan seterusnya peperiksaan.

Naib Canselornya, Dato’Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, inisiatif tersebut telah dimulakan pada semester kali ini dengan membabitkan 550 pelajar yang mana masing-masing diberikan kupon makanan bernilai RM5 setiap seorang.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, ada di kalangan para pelajar ini (B40 dan Asnaf) sanggup bekorban dan menggunakan wang pinjaman atau zakat yang diperolehi untuk dikirimkan kepada keluarga di kampung sebagai perbelanjaan seharian.

“Kebiasaannya, musim peperiksaan adalah pada penghujung semester dan ketika ini sebahagian besar pelajar ini sudah kekurangan wang, justeru inisiatif yang diambil ini di harap dapat membantu para pelajar B40 dan asnaf untuk kekal bertenaga menghadapi peperiksaan,”ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar, UniMAP turut menyediakan peluang penjanaan pendapatan kepada pelajar iaitu menerusi bantuan keusahawanan yang menawarkan skim GIG Ekonomi yang mana para pelajar diberikan bimbingan untuk menjalankan perniagaan secara online.

Tambah beliau, UniMAP turut menyediakan “Foodcart Asnaf” dan kiosk keusahawanan khusus untuk para pelajar yang ingin menjalankan perniagaan makanan dan minuman selain turut menawarkan skim dedikasi diri yang manawarkan peluang kerja separuh masa kepada pelajar.

“Menerusi skim ini, para pelajar dibenarkan melakukan kerja sampingan di mana-mana pusat atau jabatan di UniMAP untuk tempoh tidak melebihi lima jam sehari. Kebiasaannya kerja yang ditawarkan adalah berdasarkan kemahiran yang dimiliki pelajar seperti terjemahan, suntingan video, penyediaan slide dan lain-lain tugasan pejabat.

Dalam pada itu, beliau berkata, UniMAP masih meneruskan program wakaf ‘Friendly Kafe’ di sembilan buah kafe di UniMAP yang diperkenalkan semenjak tahun 2017 yang lalu sebagai usaha untuk membantu memberikan makanan percuma yang diwakafkan kepada pelajar.

“Program itu juga memberi peluang kepada mana-mana individu atau organisasi mewakafkan wang untuk pembelian makanan di kafe terbabit supaya dapat diberikan kepada pelajar miskin yang telah dikenal pasti. Program berkonsepkan wakaf ini juga turut dijalankan oleh individu persendirian pusat-pusat pengajian serta kolej kediaman.

“Bagi UniMAP, dengan meneruskan program seperti ini, pemberian yang sekecil itu mampu membantu mengenyangkan perut seorang pelajar yang betul-betul memerlukan,” ujarnya sambil menambah, mulai semester 2019/2020 pula UniMAP akan menyediakan skim penginapan percuma kepada 10 asnaf terpilih setiap tahun.

 

Makanan Percuma Untuk Pelajar Asnaf

Makanan Percuma Untuk Pelajar Asnaf