- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Inovasi Generator Berasaskan Tenaga Solar Boleh Ubah Raih Anugerah Best Invention Di ITEX 2015
Kuala Lumpur, 23 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mencipta sejarah tersendiri apabila salah satu produknya dipilih menerima Anugerah Best Invention bagi kategori universiti atau institusi pendidikan pada Malam Budaya Cipta (A Celebration of Creativity) yang diadakan bersempena 26th International Invention Innovation Exhibition (ITEX) 2015 di sini, semalam.
Anugerah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada wakil penyelidik Mohd Hafiz Arshad yang diraih melalui produknya “Portable Solar Generator: 2nd Generation (A Novel for relief during natural disaster).
Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Menteri Pendidikan II, YB P. Kamalanathan P. Panchanathan; Pengasas dan Presiden Malaysian Invention and Design Society (MINDS), Tan Sri Emeritus Profesor Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock; Penasihat Sains Pertama Malaysia kepada Perdana Menteri, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Omar Abdul Rahman; Presiden C.I.S Network Sdn Bhd yang juga pengurus program ITEX 2015, Dato’ Vincent Lim.
Mohd Hafiz berkata, usaha keras beliau dan rakan penyelidik lain dalam menghasilkan inovasi menghasilkan generator berasaskan tenaga solar mudah alih yang boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit terutama apabila berlaku bencana seperti banjir besar di Kelantan baru-baru ini.
Ujar beliau, inovasi berkenaan terhasil selepas melihat kesukaran mangsa bencana untuk terus berhubung dengan keluarga terdekat terutama apabila bekalan elektrik terputus.
“Atas dasar itu, saya dan rakan penyelidik lainnya mengambil inisiatif menghasilkan generator berasaskan tenaga solar yang boleh digunakan oleh mangsa banjir dan sukarelawan terutama di pusat bantuan bencana.
“Kami bekerja keras terhadap penyelidikan ini dan dengan terpilihnya produk kami ini telah memberikan satu momentum baharu untuk meningkatkan lagi kualiti penyelidikan kami di masa hadapan,” katanya.
Selain Mohd Hafiz, penyelidik lain bagi produk ini adalah Baharuddin Ismail, Azralmukmin Azmi, Mohd Zulhisham Mohd Radzi, Mohd Syahril Noor Shah dan Mohammad Faridun Naim Tajuddin.
Produk di bawah kategori Alam Sekitar dan Tenaga Boleh Diperbaharui itu juga terpilih menerima anugerah khas daripada World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) Taiwan.
Selain itu, dua lagi produk UniMAP yang turut menerima anugerah khas sama ialah produk SAC – OCDMA System Utilizing Flexible Cross Correlation (FCC) Code For Fiber – Wireless Network hasil penyelidikan Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid Syed Junid; dan produk Fly Ash Bubble Aggregate oleh Norlia Mohamad Ibrahim.
Selain menerima anugerah khas tersebut, ketiga-tiga produk ini turut menjadi penyumbang kepada pingat emas UniMAP di ITEX 2015.
Untuk rekod, UniMAP telah mencatat kejayaan manis apabila kesemua 60 produk penyelidikannya meraih pingat pada ITEX 2015 sekaligus mengekalkan pencapaian 100 peratus pingat seperti tahun lalu.
Pada pameran yang berlangsung bermula 21 hingga 23 Mei 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini itu, delegasi penyelidik UniMAP meraih 18 emas, 31 perak dan 11 gangsa dari 665 pingat yang ditawarkan.
Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah dan yakin mereka ini adalah sumber inspirasi kepada penyelidik lain.
Tan Sri Muhyiddin menyifatkan tiada siapa yang mengetahui dengan lebih baik kepentingan inovasi melainkan penyelidik, akademia, para pencipta, usahawan dan pakar industri.
“Baharu semalam, inovasi telah dikenalpasti sebagai salah satu sumber cas dalam Pelan Malaysia ke – 11 untuk menguatkan peningkatan ekonomi dan menambahbaik kehidupan rakyat.
“Kita akan memberi fokus untuk mengukuhkan hubungan kapital demi menggalakkan hubungan yang lebih erat, kerjasama, dan kepercayaan di kalangan pemegang taruh. Usaha untuk mempromosikan inovasi akan dilaksanakan dari peringkat perusahaan dan masyarakat,” katanya.
ITEX 2015 anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) telah diadakan buat kali ke – 26 dengan mempertandingkan 23 kategori dan mendapat penyertaan lebih 1000 produk penyelidikan dari lebih 20 negara.
Antara negara yang menyertai adalah Belgium, Mesir, German, Hong Kong, India, Indonesia, Iraq, Itali, Japan, Korea, Moldova, Philipina, Poland, Romania, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Turki, Amerika Syarikat dan Malaysia.
Turut diadakan adalah Asian Young Inventors Exhibition 2015 (AYIE) dan Malaysian Young Inventors Exhibition 2015 (MYIE) yang membariskan penyelidik muda berusia 20 tahun dan ke bawah.