A+ A A-

Jelajah Ilmu Bentuk Mahasiswa Matang

Selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ingin melahirkan sumber manusia lengkap dari segi mental dan fizikalnya, pembinaan Kemahiran Insaniah (KI) atau Soft Skills dalam diri pelajar di peringkat universiti menjadi fokus utama bagi semua institusi pendidikan tinggi (IPT) Negara. Seperti IPT lain, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) juga tidak ketinggalan bagi memenuhi tujuh kunci KI dengan mengadakan pelbagai program berkala kepada mahasiswanya khusus bagi mematangkan mahasiswa ini.

Terkini, UniMAP telah menghantar 32 pemimpin mahasiswanya yang terdiri daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2017/2018 merentasi benua Eropah selama lapan hari tujuh malam untuk ke Poland, Belgium dan Belanda melalui program Jelajah Ilmu UniMAP ke – 14, baru-baru ini. Mantan Yang Dipertua (YDP) MPP 2017/2018, Muhammad Amir Hakim Razali berkata mereka berkesempatan ke Parlimen Kesatuan Eropah atau lebih dikenali sebagai ‘European Union (EU) Parliament’ di Brussels Belgium dan bersoal jawab mengenai keadaan semasa Negara tersebut.

“Pengalaman ini sangat mengujakan dan telah membuka minda kami sebagai pemimpin muda untuk lebih berfikiran jauh selain lebih memahami keadaan dunia luar.”

“Malah penjelasan mengenai isu menarik diri dari Kesatuan Eropah (EU) atau ‘Brexit’ untuk menstabilkan kedudukan dan peluang penduduk Britain dalam bidang pekerjaan dan sebagainya tanpa persaingan Negara EU lain telah memberi gambaran betapa beratnya tanggungjawab pemimpin bagi menjaga sesebuah Negara,” katanya ketika tanya pemberita mengenai lawatan Jelajah Ilmu tersebut.

Ujar Amir Hakim lagi, ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada kami bahawa dalam sesetengah situasi, keputusan berat perlu diambil bagi memberikan impak positif kepada Negara dan penduduknya di kemudian hari.

“Walaupun impaknya tidak dapat dilihat dalam masa terdekat tetapi ia pasti akan membawa manfaat kepada Negara dan rakyat Negara itu tidak lama lagi dan sebagai pemimpin kita harus matang dalam membuat pertimbangan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan pula ketika dihubungi berkata program berkenaan berupaya meningkatkan kemahiran berkomunikasi; berfikiran kritis; kemahiran kerja berpasukan; serta pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat di kalangan peserta; moral dan etika professional; dan kemahiran kepimpinan.

“Program Jelajah Ilmu UniMAP adalah program tahunan bertujuan untuk memantapkan lagi kemahiran insaniah yang ada dalam diri pemimpin muda kita. “Mereka telah melalui pelbagai proses untuk memantapkan fizikal dan mental mereka dan program Jelajah Ilmu adalah program kemuncak universiti dalam membentuk pemimpin masa depan,” katanya.

Ujarnya lagi, kali ini kita memilih tiga Negara iaitu Poland, Belgium dan Belanda yang merupakan Negara kuasa besar dan dari situ mereka akan lebih cakna dan peka terhadap perkembangan isu-isu global.

“Isu-isu global sebenarnya memainkan peranan utama dalam mencorak dimensi politik serta hubungan diplomatik antara negara-negara di dunia,” katanya. Beliau percaya, sebagai pelapis kepimpinan negara pada suatu masa akan datang, anak muda terutamanya mahasiswa perlu matang dan bersedia menggalas wawasan tinggi untuk memacu hala tuju negara supaya Malaysia dapat berdiri serta bersaing sama hebat setanding negara-negara maju seperti di Eropah.

Turut sama dalam jelajah ini adalah Canselor UniMAP yang juga merupakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama puteri baginda, Sharifah Adriana Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tidak ketinggalan adalah wakil dari UniMAP iaitu Naib Canselor, Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal; Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Dr. Salsuwanda Selamat; termasuk dua pegawai pengiring iaitu Ahmad Mu’adz Nazari dan Aizatul Akma Wani Ariffin dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

Jelajah Ilmu Bentuk Mahasiswa Matang