- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
Graduan Kejuruteraan UniMAP Diterima Industri
Kangar, 19 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya membuktikan graduan kejuruteraannya diterima baik oleh industri dan kekal berkhidmat sebagai jurutera atau jurutera teknologi sebaik tamat pengajian.
Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan (CIGC) UniMAP, peratusan graduan mendapat pekerjaan melebihi kadar 80 peratus setiap tahun.
Menurut beliau, sekiranya diperincikan mengikut sektor perkhidmatan pula, sekitar 31.38 peratus graduan bekerja dalam sektor pembuatan; 19.4 peratus dalam sektor saintifik dan teknikal; 11 peratus dalam sektor pembinaan dan enam peratus dalam sektor maklumat dan komunikasi.
“Secara umumnya, data ini membuktikan graduan kejuruteraan UniMAP bekerja mengikut bidang yang diambil sewaktu di universiti iaitu antaranya kejuruteraan pembuatan, kejuruteraan alam sekitar dan bangunan serta kejuruteraan komputer dan perhubungan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menyatakan kecenderungan graduan kejuruteraan bekerja dalam sektor yang tidak berkaitan dengan bidang yang dipelajari kini menunjukkan trend yang membimbangkan.
Antara lainnya, Chow berkata, adalah amat menyedihkan sekiranya graduan jurutera yang telah diberi pendedahan tenaga kerja mahir memilih untuk bekerja dalam sektor-sektor lain seperti insurans dan pemasaran yang mana ia merupakan kerugian kepada negara.
Menurut Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar, tidak dinafikan trend tersebut sememangnya ada tetapi, UniMAP sebagai sebuah universiti yang berteraskan kejuruteraan sentiasa memastikan kurikulum pengajaran yang ditawarkan adalah bertepatan dan selari dengan kehendak industri.
Ujarnya, ia termasuklah melantik pensyarah pelawat dari kalangan pemain industri selain menyediakan prasarana dan kemudahan mesin dan peralatan serta makmal yang setanding dengan industri.
Tambah beliau, UniMAP bukan sahaja mendapat kepercayaan industri tempatan, sebaliknya graduan keluaran universiti turut mendapat pengiktirafan dari syarikat-syarikat luar negara dan ia dibuktikan melalui keberadaan alumni UniMAP di seluruh dunia.
“Terkini Clarivate Analytics dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Laporan Pencapaian Penyelidikan dan Inovasi Universiti di Malaysia 2013 – 2017 turut menyebut UniMAP diterima baik oleh sektor industri di Amerika Syarikat dan China terutama oleh syarikat berasaskan teknologi robotik.
“Dengan pencapaian-pencapaian ini, UniMAP akan terus komited untuk melahirkan graduan kejuruteraan yang berdaya saing dan menyumbang kepada agenda pembangunan negara selaras dengan misi universiti,” ujarnya.