- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Inovasi UniMAP Kesan Bakteria Pesakit Diabetis Raih Anugerah Khas di Korea
Kangar – 1 Disember 2014, Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam mengenalpasti spesis bakteria yang menyebabkan jangkitan luka kepada kaki pesakit diebetes berjaya meraih pingat emas dan anugerah khas Syrian Export Federation pada Seoul International Invention Fair di Coex Seoul di sini.
Inovasi berkenaan yang turut membabitkan pasukan penyelidik dari Hospital Tuanku Fauziah Kangar membolehkan bakteria dikesan menggunakan sejenis alat yang dinamakan hidung elektronik (e-nose).
Menurut Ketua Penyelidik, Dr. Mohd. Iqbal Omar, antara lainnya kajian tersebut dibuat bagi mengenalpasti keupayaan dan kemampuan e-nose mengesan jenis-jenis bakteria yang menjadi punca jangkitan di luka pesakit diabetis.
Jelas beliau, E-nose adalah suatu teknologi terkini yang menggunakan sensor chip untuk mengesan jangkitan awal bakteria yang akan membolehkan doktor mengesan jangkitan tersebut berpunca dari hanya sejenis spesis atau pelbagai spesis bakteria.
“Dengan hanya menghidu pada luka kaki pesakit diabetes, E-nose akan memaparkan keputusan iaitu bakteria yang menyebabkan jangkitan pada luka kaki pesakit diabetes. Jika dibandingkan dengan kaedah rawatan terkini, 2 atau 3 hari adalah masa yang diambil untuk mengetahui keputusan daripada makmal patologi.
“Oleh itu, kelebihan produk ini adalah dapat memberi keputusan yang cepat iaitu seawal enam jam dan tepat kepada pesakit seterusnya memudahkan pakar perubatan untuk memberi rawatan yang sewajarnya kepada pesakit,” ujar beliau ketika dihubungi.
SIIF berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini dengan penyertaan 723 produk keseluruhannya dari 34 negara yang mengambil bahagian.
Pada pameran tersebut jugak, produk hasil inovasi Prof. Dr. Uda Hashim iaitu E-Coli DNA Test Kit (E.D. Kit) dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama SIIF 2014 selain turut meraih pingat emas pameran. Satu lagi pingat emas pameran diraih oleh Dr. Rizalafande Ismail menerusi inovasinya, High-Speed, Cost-Effective and Accurate Arithmetic Unit Using Logarithmic Number System for 3D Transformation Architecture.
Selain satu anugerah utama SIIF 2014, UniMAP yang menghantar 23 penyertaan secara keseluruhannya berjaya meraih empat anugerah khas, tiga pingat emas, tujuh pingat perak dan enam pingat gangsa.
Dua lagi anugerah khas menjadi milik Dr. Rozyanty Rahman menerusi inovasinya“KENAF-SEPTANK”- Green Hybrid Septic Tank and High Performance Composite iaitu penghasilan tangki septik dengan menggunakan gentian kenaf sebagai sebahagian bahan pengukuh komposit.
Gentian kenaf ini merupakan bahan yang mesra alam dan setanding dengan gentian kaca yang banyak digunakan dalam penghasilan komposit yang mana antara kelebihannya ialah dari segi berat ketumpatannya yang rendah serta tidak memudaratkan mereka yang bekerja secara langsung dengan gentian kenaf ini berbanding gentian kaca yang sangat merbahaya pada kesihatan serta alam sekitar.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejayaan Dr. Iqbal dan Prof Dr. Uda merupakan antara bukti komitmen UniMAP menghasilkan inovasi yang bakal memberikan perubahan kepada bidang perubatan di negara ini.
Dr Mohd. Iqbal (dua dari kiri) bergambar bersama para penyelidik Universiti Malaysia PErlis yang berjaya memenangi anugerah khas, anugerah utama, serta pingat-pingat emas, perak dan gangsa pameran SIIF di Seoul Korea hari ini.