A+ A A-

Khidmat Sosial Jejak Bakti 2.0 Erat Hubungan Warga UniMAP, Masyarakat

PAUH PUTRA, 10 AprilUniversiti Malaysia Perlis (UniMAP), melalui Kelab Gyrosociety (GYROS) dan Kelab Staf Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan telah menganjurkan Program Jejak Bakti 2.0 di di Sekolah Kebangsaan Guar Nangka, Mata Ayer, di sini, baru-baru ini.

Program sehari itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan  disertai seramai 45 pelajar dan 25 staf PPK Pembuatan.

Dekan PPK Pembuatan, Prof. Madya Dr. Noorhafiza Muhammad, berkata  program kebajikan dan kemasyarakatan itu diadakan bertujuan bagi  menyemai sikap mesra komuniti antara warga UniMAP dengan masyarakat setempat.

“Seperti yang telah kita sedia maklum, program kemasyarakatan dan khidmat komuniti memang sinonim dengan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

“Pembabitan mereka dalam program khidmat komuniti bukan sahaja dapat melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran insaniah,malah ia akan dapat  menanam sifat kesukarelawanan dan suka membantu mereka yang memerlukan dalam kalangan mahasiswa masa kini, katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada program itu.

Turut hadir, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Guar Nangka, Mohd Nazdri Jaafar.

Ujar Noorhafiza lagi, pihaknya akan menjadikan  program CSR itu sebagai acara tahunan kerana melihat dari penyertaan dan komitmen yang diberi oleh pelajar dan staf amat menggalakkan.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut adalah ceramah motivasi, penyelenggaraan kemudahan asrama, mengecat, melukis mural, serta sumbangan rak kasut hasil mini projek pelajar UniMAP melalui subjek Bengkel Kejuruteraan.

Sementara itu, Mohd Nazdri, berkata pihaknya berterima kasih atas keprihatinan PPK Pembuatan UniMAP dalam memberikan sumbangan tenaga dan keperluan terhadap sekolah tersebut.

“Saya amat berharap kerjasama antara sekolah ini dan UniMAP dapat kita teruskan lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Khidmat Sosial Jejak Bakti 2.0 Erat Hubungan Warga UniMAP, Masyarakat

Khidmat Sosial Jejak Bakti 2.0 Erat Hubungan Warga UniMAP, Masyarakat

Khidmat Sosial Jejak Bakti 2.0 Erat Hubungan Warga UniMAP, Masyarakat

Khidmat Sosial Jejak Bakti 2.0 Erat Hubungan Warga UniMAP, Masyarakat