A+ A A-

500 Pengunjung Surau UniMAP Terima Moreh Tajaan McDonald’s Malaysia

KANGAR 7 Mei - Seramai 500 pengunjung surau Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang sebahagian besarnya dari kalangan pelajar universiti ini bertuah kerana menerima pek tajaan moreh daripada Mc Donald's Malaysia selepas seleai menunaikan solat terawih di sini, semalam.

Ketua McDonald’s Kangar, Mohd. Khairul Azwan Mastudi berkata, sumbangan 500 pek moreh berupa burger McChicken, Pai Epal dan minuman kordial oren itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Mc Donald’s dalam mewujudkan hubungan erat dengan penuntut universiti khasnya.



Selain itu, ujarnya, program tersebut juga membolehkan ahli jemaah surau terutamanya dalam kalangan yang kurang berkemampuan untuk menikmati hidangan istimewa yang disediakan restoran makanan segera itu dan akan diteruskan di UniMAP pada 14 dan 21 Mei ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, McDonald’s Malaysia merupakan antara syarikat yang sentiasa memberikan penajaan dalam menyokong aktiviti-aktiviti di UniMAP termasuk aktiviti inovasi dan robotik.

Ujar beliau, selain penajaan moreh di bulan Ramadan, UniMAP juga telah menerima persetujuan penajaan dari pengendali restoran makanan segera itu dalam penganjuran University Robot Competition (URoCK) yang dijadualkan berlangsung pada bulan September ini.

“Dalam pertandingan itu kelak yang melibatkan peserta dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara, terdapat satu kategori yang dipertandingkan memerlukan peserta menghasilkan robot berbentuk drone yang dapat mengendalikan proses penghantaran sajian McDonald’s.

“Pastinya sesuatu yang menarik apabila revolusi teknologi penghantaran makanan ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada pengendali restoran makanan segera itu dan kita berharap ianya mampu direalisasikan dalam era revolusi industri 4.0 ini,” ujarnya lagi.

Tagged under: UniMAP, moreh, McD, URoCK,