- Kategori: BERITA - Malay
Jelajah Ilmu Acheh : Pengalaman Menginsafkan
Banda Acheh, 16 Februari – Peluang berkunjung ke Muzium Tsunami Acheh serta Pembangkit Listrik Tenaga Diesel (PLTD) Apung merupakan antara pengalaman paling menginsafkan buat delegasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sepanjang mengikuti Program Kembara Ilmu di Bumi Acheh pada 13 hingga 15 Februari lalu.
Berkenan berangkat hadir dalam sesi lawatan pada hari pertama itu ialah Raja Muda Perlis, yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Rasa sayu dan sebak menyelubungi hampir kesemua delegasi sebaik sahaja tiba di hadapan muzium tsunami yang mana terdapat rangka helikopter yang musnah akibat bencana tsunami pada 26 Disember 2004 yang lalu.
Lebih menyedihkan apabila delegasi UniMAP melalui laluan gelap gelita, sempit, berpusing-pusing dengan binaan dinding yang basah umpama sedang berada di dalam lautan yang gelap gelita dan apabila pandangan di arahkan ke bahagian atas laluan, akan terpamer perkatan Allah yang pasti akan membangkitkan keinsafan.
Dengan bentuk muzium yang dibina seakan-akan bahtera besar yang menyelamatkan manusia, delegasi UniMAP seterusnya berpeluang menyaksikan tayangan gambar-gambar bencana tsunami melalui panel skrin yang disediakan secara bertingkat.
Delegasi UniMAP seterusnya dibawa masuk ke ruang berbentuk bulat yang menghimpunkan ratusan ribu nama-nama mangsa tsunami yang dipahat dengan begitu cantik di bahagian dinding ruang. Delegasi UniMAP turut menghadiahkan doa untuk mangsa-mangsa Tsunami yang diketuai oleh Pengarah Pusat Islam UniMAP, Ustaz Hassan Arshad.
Sesi lawatan diteruskan dengan tayangan video tsunami di aras satu yang mana sebelum itu delegasi UniMAP perlu melalui satu ruang jambatan yang panjang dan dihiasi bendera-bendera negara yang menghulurkan bantuan ketika tsunami di bahagian atas bumbung laluan jambatan tersebut.
Sebaik tayangan video yang berdurasi sekitar sembilan minit, delegasi UniMAP di bawa melawat ruang pameran yang menempatkan gambar dan barangan bersejarah kesan tsunami serta keadaan bentuk muka bumi bandar acheh sebelum dan selepas kejadian.
Turut dipaparkan ialah gambaran pelukis ketinggian ombak yang melanda acheh, lukisan keadaan tsunami serta lukisan-lukisan keadaan persekitaran bandar Acheh selepas kejadian tsunami termasuk keadaan Masjid Raya Baiturrahman yang boleh diibaratkan seperti padang jarak padang tekukur.
Lawatan ke muzium di akhiri dengan sesi bergambar di perkarangan pintu masuk muzium sebelum diteruskan dengan sesi lawatan di PLTD Apung di daerah Punge Blang Cut di Banda Acheh.
Keadaan fizikal kapal tersebut tersebut dengan keberatan 2,600 tan, ukuran panjang sekitar 63 meter serta keluasan 1,900 meter persegi merupakan bukti nyata betapa dasyatnya kejadian tsunami yang melanda Acheh 11 tahun dahulu sehingga mampu menghempaskan kapal tersebut pada jarak kira-kira lima kilometer dari lokasi asal iaitu di sekitar Pelabuhan Ulee Lheue.
Monumen kapal PLTD Apung yang dinamakan Gelombang, Waktu dan Puing dibina di pintu masuk dengan corak ukiran tsunami yang begitu berseni selain turut memaparkan sejarah kapal, batu tanda peringatan serta nama-nama mangsa yang terkorban.di Dusun Lampoh Lubhouk, Dusun Tuan Dikandang.
Persekitaran bandar Acheh dengan menggunakan teropong turut boleh disaksikan dari puncak kapal PLTD Apung.