A+ A A-

UniMAP Prihatin Anak-Anak Staf Meninggal Sempena Festival Nasyid 2019

Pauh Putra, 28 Mei- Dalam kegembiraan umat Islam membuat persiapan menyambut lebaran yang akan tiba seminggu lagi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut menzahirkan rasa prihatin terhadap anak-anak mantan staf yang telah meninggal dunia.

Justeru, sempena Pertandingan Festival Nasyid 2019 universiti itu yang diadakan di Dewan Kecemerlangan, kampus UniMAP, di sini seramai 11 anak-anak yatim diberikan sumbangan berupa wang tunai RM150 setiap seorang bagi meringankan beban keluarga mereka.

 

Sumbangan berkenaan merupakan hasil Jom Infaq Ramadan 1440H daripada warga UniMAP yang disumbangkan secara atas talian mahupun tabung Surau UniMAP anjuran Pusat Islam UniMAP.

Salah seorang daripada mereka ialah anak mantan staf Jabatan Pembangunan UniMAP, Zamzuri Zain yang meninggal dunia pada Ogos tahun lalu iaitu Adam Harith ,5, dan adiknya Medina Az Zahra,2.

Ibu kanak-kanak itu, Nurhafiza Halim, 32,  berkata sumbangan yang diberi UniMAP menyebabkan beliau mampu menarik nafas lega kerana keperluan hari raya kedua-duanya masih belum dibeli.

Katanya, beliau bercadang untuk membawa anak-anak membeli pakaian raya pada minggu ini memandangkan lebaran Aidilfitri tidak lama lagi memandangkan anak-anaknya tidak sabar membeli pakaian baharu.

Bagi saya, sumbangan ini amat besar ertinya kepada anak-anak saya kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap. Terima kasih di atas keprihatinan UniMAP walaupun bapa mereka sudah tiada,” katanya yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara sambilan bagi menampung keperluan kedua-dua anaknya.

Sumbangan itu disampaikan oleh Naib Canselor UniMAP Prof Ir Ts Dr Badlishah Ahmad disaksikan Timbalan Naib Canselor Inovasi dan Penyelidikan Prof Dr Uda Hashim, dan pegawai-pegawai utama serta ketua-ketua jabatan universiti.

Terdahulu, pertandingan Festival Nasyid anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) dan Pusat Islam itu menyaksikan kejuaraan menjadi milik Kumpulan Al-Munawwar dari Pusat Bahasa dan Antarabangsa yang membawa lagu tema animasi kartun Frozen dengan mengubahsuai lirik kepada unsur kerohanian.

Kejayaan itu membolehkan Al-Munawwar membawa pulang RM1,500, piala pusingan, hamper tajaan Rass Design dan sijil.

Lebih manis, kumpulan yang diterajui dekannya, Dr Sharmini Abdullah itu juga meraih Anugerah Persembahan Terbaik dengan hadiah wang berjumlah RM500.

Naib johan pula berjaya diraih Kumpulan Innovoice dari Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan, tempat ketiga diraih kumpulan An-nisa’ 29 dari UniMAP Holdings manakala Anugerah Kostum Terbaik diraih oleh Kumpulan Al-Muhibbah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan.

Sementara itu, Prof Ir Ts Dr Badlishah Ahmad berkata pertandingan nasyid yang dianjurkan universiti bukan bertujuan bagi merebut kejuaraaan semata-mata namun berperanan sebagai satu medium dakwah melalui hiburan mengikut syariat.

Katanya, menerusi nasyid sekurang-kurangnya peserta dan warga universiti dapat mendalami hakikat kehidupan yang dilalui di samping menginsafi diri sempena bulan yang mulia itu.

“Menerusi kreativiti mengubah lirik dengan menggunakan lagu-lagu menarik dan terkini juga menjadi salah satu strategi dakwah yang berkesan dan positif,” kata beliau ketika berucap merasmikan pertandingan festival berkenaan.

Program tahunan itu yang  membawa tema “Irama Dalam Kreativiti” berkonsepkan ubahsuai lirik menggunakan lagu-lagu arus perdana kepada lirik yang berunsurkan kerohanian dan ketuhanan membabitkan 11 penyertaan  pusat pengajian dan jabatan di universiti itu.

Tagged under: UniMAP, nasyid, festival,