A+ A A-

UniMAP Beri Kebebasan Bersuara Kepada Pelajar

PAUH PUTRA, 26 Mei- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberikan kebebasan kepada semua pelajar dalam memberikan pandangan atau teguran bagi menambahbaik sistem di universiti.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, ia dilihat lebih baik kerana pihak pentadbiran universiti akan dapat mendengar secara terus masalah atau pendapat dari pihak pelajar sekaligus akan lebih merapatkan hubungan pengurusan dan pelajar.

 

 “Kita menyokong hasrat dan usaha dalam penggubalan satu akta baharu pendidikan tinggi bagi menggantikan AUKU menjelang 2020 dan ianya merupakan memberikan kebebasan kepada para pelajar untuk bersuara.

“Saya percaya ia akan membawa lebih banyak cabaran kepada kepimpinan mahasiswa universiti pada masa akan datang sekaligus mampu melahirkan lebih ramai anak-anak mahasiswa yang berpotensi menjadi pemimpin negara masa hadapan,”katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Naib Canselor Bersama Kepimpinan UniMAP di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah UniMAP, di sini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dan Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Muzammil Jusoh.

Ujar  Badlishah lagi, UniMAP kini mempunyai kira-kira 15,000 mahasiswa dan mahasiswi.

”Jumlah ini saya kira tidak mudah untuk dikendalikan hanya oleh seorang Naib Canselor, mahupun Timbalan Naib Canselor serta Dekan-dekan.

”Namun dengan adanya 30 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 80 kepimpinan Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK), ia menjadi medium antara pihak pengurusan universiti dan mahasiswa,”katanya lagi.

Sementara itu, bagi Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP, Muhammad Amir Harith Abdul Jalil berkata, barisan kepimpinan mahasiswa UniMAP memberikan sokongan penuh kepada Naib Canselor dan bersedia untuk memberikan kerjasama bagi membantu universiti.

 “Kami berharap dengan adanya “Student Empowerment” yang disuarakan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik,disambut baik pihak universiti untuk suara mahasiswa akan lebih didengari oleh pihak atasan demi kebaikan bersama,” katanya.

Tagged under: UniMAP, pelajar, kebebasan,