A+ A A-

Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Kunjungan Di Universiti Sweden

ARAU – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Wooi Chin Leong dilantik menjadi penyelidik kunjungan di Uppsala University Sweden bagi tempoh tiga bulan bermula dari 15 Februari hingga 15 Mei 2019.

Beliau yang berkepakaran dalam bidang pengukuran medan elektrik, voltan tinggi, dedenyut kilat dan makmal nyahcas telah ditempatkan sepenuh masa di Jabatan Sains Kejuruteraan universiti tersebut bagi menganalisa data sinar-X dari makmal nyahcas dan seterusnya menyediakan beberapa penerbitan saintifik bersama-sama penyelidik lain bagi projek ini.



Menurut Dr Wooi, beliau dan kumpulan penyelidiknya bertanggungjawab untuk membina pengesan sinar-X, menganalisa sinar-X, fotografi kelajuan tinggi, gelombang arus tinggi dan voltan tinggi dari makmal nyahcas panjang.

“Saya ditugaskan merekod data daripada pengesan sinar-X dan fotografi kelajuan tinggi. Pengalaman dalam pengukuran data ini menjadikan tugas saya sangat penting untuk menganalisa data bagi memastikan kejayaan penyelidikan ini.”

“Malah saya pernah menjalankan sebahagian kajian data sinar-X yang diperolehi dari nyahcas makmal panjang dan ini menjadi satu kelebihan kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan penyelidik ini, katanya ketika dihubungi baru-baru ini.”