- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Jelajah TECHPARK UniMAP
KANGAR, 3 Februari — Para penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sewajarnya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan peralatan yang terdapat di makmal-makmal secara optimum bagi menghasilkan produk yang berimpak tinggi.
Pengerusi Majlis Profesor UniMAP, Prof. Dr. Ali Yeon Md Shakaff berkata, walaupun memiliki peralatan makmal yang canggih, namun, ia masih belum digunakan sepenuhnya oleh penyelidik UniMAP.
“Atas kesedaran itu, kita telah menganjurkan Program Jelajah Techpark UniMAP bagi membawa Profesor-profesor untuk melihat sendiri kemudahan yang terdapat di Pusat Kecemerlangan UniMAP.
“Dalam lawatan selama sehari itu, kita telah dapat mengenalpasti secara lebih mendalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh setiap Pusat Kecemerlangan ini,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai program itu baru-baru ini.
Seramai 10 Profesor dari lapan pusat tanggungjawab mengikuti lawatan ke lima Pusat Kecemerlangan UniMAP, antaranya Advanced Sensor Technology (CEASTech), Unmanned Aerial Systems (UAS), Advanced Communication Engineering (ACE), Institut of Nano Electronic Engineering (INEE) dan Advanced Multidisciplinary MEMS-Based Integrated Electronics NCER Centre Of Excellence (AMBIENCE).
Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Dato’ Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.
Ujarnya lagi, usaha yang dijalankan Majlis Profesor itu akan membolehkan kerjasama antara pusat kecemerlangan dapat diwujudkan dalam masa terdekat untuk menghasilkan produk penyelidikan yang berimpak tinggi.
“Kita akan mengadakan program lawatan fasa dua ke pusat-pusat pengajian yang lain untuk mengenalpasti kelebihan yang boleh dikongsikan oleh semua warga UniMAP,”katanya lagi.