- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Mohd Afif Md Jamel Khir
UniMAP Pilihan Utama
ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) nyata menjadi pilihan utama apabila dipilih sebagai lokasi Seminar Pembangunan Profesionalisme Guru Bimbingan dan Kaunseling SBP anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini.
Program tiga hari dua malam yang dihadiri seramai 138 guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (SBPSK) itu menyaksikan pendedahan menyeluruh mengenai kepakaran dan fasiliti yang terdapat di UniMAP.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal ketika merasmikan program itu berkata, seminar ini adalah bagi melengkapkan guru dalam kepelbagaian cabang ilmu terutamanya berkaitan laluan kerjaya pelajar melibatkan bidang sains dan teknologi.
“Guru-guru harus memantapkan pengetahuan dalam sains dan teknologi sekalipun latarbelakang pendidikan guru-guru sebelum ini tidak terlalu banyak fokus terhadap bidang ini.
“Ini kerana, guru-guru kaunselor memainkan peranan penting terhadap kecenderungan pelajar memilih program pengajian bersesuaian yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam mahupun swasta,” katanya.
Tambahnya, guru kaunselor berperanan terutama dalam aspek perancangan kerjaya, perancangan akademik dan self-efficacy pelajar.
Turut hadir adalah Ketua Penolong Pengarah Kanan (KPPK) Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP). Dr Hjh Zakiah Shafie dan pengurusan tetinggi UniMAP.
Selain seminar, mereka juga turut dibawa melawat fasiliti yang terdapat di semua pusat pengajian UniMAP dan diberi penjelasan terperinci mengenai kepakaran penyelidikan dan pendidikan UniMAP.