- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
Khidmat Masyarakat Ramadan UniMAP Santuni Warga HTF
KANGAR – Muram dengan riak sedih yang terpamer di wajah sebahagian penghuni wad pembedahan di Hospital Tengku Fauziah (HTF) nyata berubah tatkala menerima kunjungan daripada 30 pemimpin mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baru-baru ini.
Mereka ini rata-ratanya warga emas yang terpaksa menyambut Ramadan di hospital akibat kompilasi penyakit kronik yang dihadapi.
Dek tiada siapa yang menjaga sepenuh masa, seorang pesakit yang hanya dikenali sebagai Rokiah (bukan nama sebenar) menyatakan rasa syukur dan gembira menerima kehadiran pelajar-pelajar yang disifatkan sebagai pengubat kesunyiannya.
“Anak makcik ada anak kecil, jadinya dia tidak dapat menjaga makcik sepenuh masa tetapi dengan kehadiran anak-anak pelajar UniMAP ini memberi kegembiraan kepada makcik,” katanya yang baharu selesai pembedahan membuang ibu jari kaki akibat penyakit diabetes.
Bagi Aminah (bukan nama sebenar) dari Kuala Sanglang yang telah kudung paras peha sejak enam tahun lalu akibat kencing manis, menghabiskan masa 10 hari di HTF tanpa keluarga di sisi memberikan kesedihan yang sukar diungkap.
“Kehadiran anak pelajar dan sumbangan makanan yang diberikan membuatkan makcik rasa seperti berada di rumah,” katanya.
Malah beliau berharap akan ada lebih banyak lagi lawatan dan kunjungan daripada orang ramai ke HTF bagi menziarahi pesakit di sini.
Sementara itu, penganjur program iaitu Kelab Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (KPNIN), presidennya Abang Azlyn Haslan Abang Ali Hossain berkata penganjuran program ini adalah sebagai persediaan fizikal dan mental kepada pemimpin pelajar untuk berhadapan dengan situasi masyarakat yang sedang menghadapi konflik diri dan keluarga.
“Program sebegini memberi peluang kepada pemimpin pelajar untuk mendalami sanubari pesakit yang menanggung kesakitan dan terpaksa menjalankan ibadah puasa di hospital.
“Malah ada di kalangan mereka yang menumpang kasih keluarga pesakit lain kerana ahli keluarga mereka sendiri mempunyai komitmen lain,” katanya ketika ditemui selepas program berlangsung.
Ujarnya lagi, pada program Khidmat Masyarakat Agihan Bubur Lambuk HTF ini sebanyak 300 bubur lambuk diedar kepada warga HTF dengan pecahan 150 kepada pesakit; 100 staf dan 50 kepada pengunjung.
Bagi Pengarah Hospital Tengku Fauziah (HTF), Dr Othman Warijo pula sangat gembira dan mengalukan kehadiran pelajar universiti ke hospital tersebut bagi menyantuni warganya terutama pesakit.
“Pihak hospital tiada halangan bagi program seumpama ini dan kami sangat berbesar hati dengan sumbangan yang diberikan.
“Lebih bermakna kerana inilah kali pertama untuk Ramadan ini warga HTF disantuni oleh pelajar dan saya mengalukan sekiranya UniMAP ingin menjadikan program ini sebagai aktiviti tahunan UniMAP,” katanya.
Ditanya bentuk sumbangan yang diterima HTF, beliau berkata pihaknya bersedia menerima sebarang bentuk sumbangan daripada pihak penganjur dan tidak pernah meletakkan syarat untuk sumbangan itu.
Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan pengurusan kolej kediaman UniMAP.