- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
28 AHLI KOUNIMAP TERIMA DUIT RAYA
PAUH PUTRA, 4 Julai – Walaupun di hari terakhir Syawal, keriangan menyambut Aidilfitri masih lagi dirasai oleh seramai 28 ahli Koperasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diraikan dalam satu Program Sumbangan Aidilfitri di Kampus Lestari UniMAP Pauh Putra di sini, malam tadi.
Mereka masing-masing menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Ir. R. Badlishah Ahmad.
Menurut Pengerusi Koperasi UniMAP Berhad (Kounimap), Prof. Madya Dr Muhammad Shahar Jusoh, program ini adalah salah satu bentuk khidmat masyarakat (CSR) Kounimap kepada ahlinya.
“Walaupun pertama kali diadakan, kita memperuntukan lebih RM5000 kepada ahli dan insyaAllah program ini akan dijadikan program tahunan malah jumlah penerima akan ditingkatkan mengikut keuntungan tahunan koperasi.
“Sumbangan ini tidaklah besar, namun saya berharap ia dapat memberikan kegembiraan kepada ahli yang terpilih,” katanya.
Ujar beliau lagi, penerima dipilih berdasarkan permohonan ahli itu sendiri dan taraf kehidupan mereka.
“Setiap permohonan diteliti dan ditapis bagi memastikan mereka yang menerima adalah layak dan berada dalam kelompok B40,” katanya.
Sementara itu, Kounimap dijangka akan memperkenalkan skim perlindungan insurans bernilai RM20,000 kepada ahlinya tidak lama lagi.