A+ A A-

UniMAP Wakil Negara Sebagai Regional Finalist Pertandingan Innovate FPGA 2019 Rantau Pasifik/Jepun

Kangar, 6 Ogos – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan (PPKKP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengharumkan nama universiti apabila projek kumpulannya berjaya terpilih sebagai ‘Regional Finalist’ di dalam pertandingan Rekabentuk Field Programmable Gate Array (Innovate FPGA) 2019.

Projek kumpulan ZHPro_SCCE diketuai Dr Zulkifli Husin bertajuk 'Automated Non-Destructive Fruits Quality Assessment and Monitoring System' berjaya menambat hati Jawatankuasa Penilai Innovate FPGA yang terdiri daripada profesor dan saintis berpengalaman sekaligus menjadi salah sebuah daripada tiga universiti mewakili negara yang bakal bersaing dengan negara rantau Asia Pasifik/Jepun pada Oktober ini.

Dr Zulkifli berkata, projek yang dibangunkan adalah sistem bagi memantau kualiti buah dengan menggunakan teknologi FPGA yang menggabungkan tiga kaedah yang tidak merosakkan seperti imej, bau, dan rasa bagi menentukan kematangannya.

 “Projek ini akan mengintegrasikan pengiktirafan dan klasifikasi buah serta penilaian kualiti buah dengan melaksanakan kaedah penglihatan pakar dan pengambilan data sensing melalui algoritma pintar seperti Mesin Sokongan Vektor – Fuzzy Interference Support (SVM-FIS).

 “Sistem ini dilaksanakan pada FPGA-SoC Intel Siklon V SoC yang terdapat pada DE10-Nano Kit, untuk tujuan mengumpul dan menganalisis data serentak melalui pelaksanaan teknologi berasaskan Internet Of Things (IoT),” ujar beliau.

Menerusi kejayaan itu, kumpulan itu bakal menerima DE10-Nano Kit secara percuma bagi ke peringkat seterusnya sebelum dipilih menyertai peringkat akhir pertandingan di China pada penghujung tahun ini.

Tambah beliau, projek itu dibangunkan adalah sebagai penyelesaian masalah yang dihadapi sektor pertanian seperti kesukaran mengesan gred buah mahupun mengekalkan kualiti buah sebelum dan selepas proses menuai.

Katanya, dengan adanya sistem ini, pihaknya berharap agar permasalahan yang berlaku di dalam sektor perladangan ini dapat diatasi dengan lebih cekap selain tidak memerlukan tenaga dan kemahiran manusia dalam mengenalpasti buah-buahan yang sempurna untuk dipasarkan.

“Malah, pembaziran masa dan kesalahan manusia dalam mengenalpasti kesempurnaan buah-buahan ini dapat dikurangkan, sekaligus meningkatkan produktiviti sektor perladangan ini sekaligus memberi kesan yang positif kepada setiap pihak termasuk pengeluar dan pengguna di negara kita khususnya,” kata beliau.

Selain Dr Zulkifli, ZHPro_SCCE  dianggotai pelajar PhD, Tan Wei Keong, pelajar Sarjana Muhamad Farid Mavi, pelajar Tahun Tiga PPKP Muhamad Amir Hakim Ismail , Muhamad Luqman Yasruddin dan Kisookumar Raguntahan serta pelajar latihan industri UniMAP Muhammad Lukman Hakim Derani.

Terdahulu Naib Canselor UniMAP Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad melahirkan rasa bangga di atas kejayaan berkenaan yang disifatkan mampu membantu komuniti pertanian pada masa akan datang.

“Di UniMAP, kepakaran yang dimiliki bukan sahaja untuk meningkatkan prestasi universiti malah untuk dimanfaatkan kepada masyarakat khususnya dalam meningkatkan ekonomi negara.

“Justeru, saya berharap kejayaan yang dicapai oleh Dr Zulkifli dan kumpulan pelajarnya ini dapat dijadikan inspirasi kepada penyelidik-penyelidik dan mahasiswa lain agar ia dapat dimanfaatkan ke pelbagai peringkat,” kata beliau.

Innovate FPGA adalah pertandingan reka bentuk FPGA global di mana pasukan dari seluruh dunia bersaing merekabentuk 'Future Artificial Intelligence' dengan Terasic dan Intel , terbuka kepada semua termasuk pelajar, profesor, perekabentuk dan industri anjuran syarikat Terasic iaitu syarikat pemaju dan pembekal utama untuk sistem perkakasan berasaskan FPGA yang berpangkalan di Taiwan.