A+ A A-

UniMAP Sedia Tangani Masalah Pengusaha Harumanis

Padang Besar, 3 OGOS - Pengusaha tanaman harumanis Perlis tidak lagi perlu gusar apabila Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyuarakan kesanggupan turun padang bagi mendengar permasalahan penanaman mangga tersebut.  

Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. Uda Hashim berkata pihaknya bersetuju menghantar pensyarah dan pelajar UniMAP terus ke kebun pengusaha tanaman itu bagi mengenalpasti permasalahan yang dihadapi pekebun. 

"Sekiranya kami mendapat maklumat berkaitan apa jua masalah pengusaha kami sanggup datang ke kebun bagi melihat dan mendengar sendiri permasalahan itu.

"Sekurang-kurangnya pensyarah dan pelajar UniMAP dapat menyelesaikan masalah berkaitan melalui kepakaran yang kita ada. 

"Kami di UniMAP sebolehnya tidak mahu menjalankan penyelidikan yang syok sendiri dan apabila kami sendiri turun padang, kami boleh menjalankan penyelidikan secara spesifik bagi membantu pengusaha keseluruhannya," katanya ketika sesi Dialog Harumanis Bersama UniMAP 2019 : Cabaran, Permasalahan dan Isu Semasa Dalam Industri Harumanis Perlis di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) di sini, hari ini. 

Tambahnya lagi, selepas ini UniMAP akan melaksanakan sesi Dialog yang lebih berfokus agar dapat menyasarkan golongan peserta yang lebih spesifik. 

"Ini sebagai permulaan buat UniMAP dalam mendekati pengusaha harumanis dan sememangnya hasrat UniMAP untuk membantu menjadikan ikon harumanis Perlis sebagai buah terbaik melalui kepakaran yang dimiliki kami. 

"Beberapa permasalahan telah dikenalpasti seterusnya kita akan mengelas dan menyusun permasalahan mengikut keutamaan sebelum mula mengkaji bentuk penyelesaiannya," katanya.

Sesi Dialog selama tiga jam ini telah disertai seramai 80 peserta terdiri daripada pengusaha tanaman harumanis di negeri Perlis. 

Ia terbahagi kepada tiga sesi iaitu Pengusaha, Pekebun dan Penjual : Apa kata anda? oleh Prof. Dr. Uda Hashim sendiri; Peranan dan Tanggungjawab Persatuan Pengusaha Harumanis Perlis oleh Datuk Hashim Suboh, Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis Perlis; dan sesi ketiga oleh Pengarah INSAT, Prof Madya Dr Muhammad Syarhabil Ahmad dengan topik Penyelidik dan Tanggungjawab Sosial Meningkatkan Kualiti & Langkah Menangani Masalah Pengusaha dan  Penjual. 

Turut hadir Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Negeri Perlis, Fadhilnor Abdullah; dan pegawai dari FAMA.