A+ A A-

Kembara Maklumat BOOKS4GIFTS UniMAP Mantapkan Budaya Membaca Anak-anak B40

PAUH PUTRA, 6 Ogos – Program Kembara Maklumat Books4Gifts merupakan inisiatif daripada Program Read@Uni yang memberi fokus kepada pemantapan budaya membaca dalam kalangan anak-anak golongan B40.

Program anjuran Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri bertujuan memupuk minat membaca, meningkatkan kemahiran mengesan dan meneroka maklumat serta memanfaatkan maklumat bagi meningkatkan kreativiti pelajar  menghasilkan inovasi.

Ketua Pustakawan UniMAP, Mazmin Mat Akhir berkata  program berkenaan merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perpustakaan dan UniMAP untuk memupuk amalan membaca melalui perluasan bahan bacaan kepada warga komuniti yang memerlukan.

Katanya, program mingguan yang berlangsung pada setiap hari Rabu melibatkan 74 sekolah rendah di Perlis dengan anak-anak pelajar ini diiringi oleh guru Pusat Sumber Sekolah dibawa meneroka koleksi, kemudahan dan perkhidmatan Perpustakaan Hibrid yang dibangunkan oleh UniMAP.

“Aktiviti menarik yang disediakan termasuklah aktiviti Scavenger Hunts secara berkumpulan bertemakan "History of Cars dengan carta bergambar yang ditaja oleh Yayasan Bank Rakyat, anak-anak pelajar mendapatkan kata kunci bagi merungkai lebih banyak teka-teki berkaitan sejarah kereta,” katanya.

Tambahnya, mereka juga berpeluang merekabentuk dan menghasilkan lukisan bertemakan "Future Cars" di ruang MCMC-UniMAP Makerspace serta dapat meneroka, membaca dan membawa pulang bahan bacaan yang dipamerkan di Sudut Books4Gifts di Tunnel Gallery.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN) Perlis, Addnan Abd. Hamid berkata beliau menyambut baik bahawa program itu amat bermanfaat kepada pelajar-pelajar daripada golongan B40 kerana mereka berpeluang melihat sendiri suasana kampus.

“Mereka bukan sahaja dapat meneroka pengalaman baharu malah dapat memperoleh bahan bacaan daripada Sudut Books4Gifts yang dibekalkan kepada setiap peserta.

“Justeru,saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan kerana ia dapat memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terpinggir bagi mendapatkan bahan bacaan dan mengikuti aktiviti literasi maklumat di PTSFP,” kata beliau.

Pengerusi Kelab Pusat Sumber, Pusat Kegiatan Guru Tambun Tulang Rosnita Ismail yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Sanglang berkata kebanyakan pelajar terdiri daripada anak-anak nelayan dan petani.

“Melalui program ini mereka dapat menikmati suasana perpustakaan akademik dan menyuntik semangat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh hingga ke menara gading bagi membela nasib keluarga pada masa hadapan.

“Malahan, kesedaran awal memupuk tabiat membaca adalah sangat penting demi kepentingan masa depan murid-murid, keluarga mereka, agama, bangsa dan kemajuan negara,” katanya yang mengiringi pelajar SK Sanglang.

Terdahulu Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Ir Dr R Badlishah Ahmad menekankan kepentingan program ini sebagai salah satu inisiatif Service Learning Malaysia (SULAM) yang bertujuan melimpahkan manfaat UniMAP kepada komuniti sekitar.

“Inisiatif ini bertujuan memberi pengalaman pembelajaran melalui teori dan praktis dengan berteraskan kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati selaras dengan hasrat kementerian.

“Ia secara tidak langsung dapat mendekatkan hubungan antara universiti dan komuniti sekaligus membantu memajukan kehidupan masyarakat menerusi kemudahan yang terdapat di universiti,” kata beliau.