A+ A A-

100 Mahasiswa UniMAP Terima Manfaat Food Bank

PAUH PUTRA, 2 OGOS- Seramai 100 mahasiswa dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) Universiti Malaysia  Perlis (UniMAP) bakal menerima manfaat daripada program Food Bank Siswa.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, sebagai permulaan UniMAP menyasarkan seramai 100 pelajar dari pengajian diploma.

“Program Food Bank Siswa@UniMAP” ini akan digerakkan Unit Kebajikan, Zakat dan OKU Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP  dan semua pelajar ini boleh mula mendapatkan bantuan makanan tersebut bermula awal bulan Ogos.

“Bagi melaksanakan hasrat ini, UniMAP akan mempertingkatkan prasarana dan kemudahan serta terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Yayasan Food Bank Malaysia ,”katanya ketika merasmikan Pra Pelancaran Food Bank Siswa @Siswa di Koleh Kediaman Tunku Abdul Rahman UniMAP, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Ab Wahab Long, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan dan Mohamad Amir Abdullah, Timbalan Pengarah KPDNHEP, Perlis.

Sementara itu dalam taklimat yang disampaikan Ab Wahab Long, beliau berkata, Julai 2019, seramai 3,820 pelajar dari 11 buah IPTA telah menerima manfaat program tersebut.

“Kita akan memperluaskan lagi program ini, ke semua IPTA pada masa akan datang sehingga mencapai sasaran yang ditetapkan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,”katanya lagi.

Perlaksanaan Program Food Bank Siswa@UniMAP menggunakan dua  kaedah iaitu Food Pantry (bantuan makanan kering seperti biskut, air kotak dan mee segera) dan Food Kitchen (bantuan makanan dimasak untuk tiga kali seminggu).