- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
Tujuh Ikon Cara UniMAP Hargai Pelajar
KANGAR – Demi menzahirkan penghargaan atas pencapaian pelajarnya, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) telah memperkenalkan tujuh ikon khusus kepada pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan telah mendapat pengiktirafan dalam dan luar Negara.
Menurut Dekan JHEPA, Prof Madya Dr. Muzammil Jusoh, terdapat tujuh anugerah ikon berdasarkan beberapa bidang iaitu Ikon Akademik, Ikon Keusahawanan, Ikon Kebudayaan, Ikon Sukan, Ikon Kepimpinan, Ikon Sukarelawan, dan Ikon Debat.
“Bulan Julai merupakan bulan pertama pemilihan ikon ini dilaksanakan dan akan diteruskan sebagai menghargai jasa pelajar kepada UniMAP.
“UniMAP yakin dengan menobatkan pelajar-pelajar ini akan menyuntik semangat mereka untuk lebih berdaya saing sekaligus muncul sebagai pelajar cemerlang dalam pelajaran dan juga aktiviti luar,” katanya.
Tambah beliau, pemilihan ikon pelajar ini dibuat berdasarkan pencapaian mereka dalam pelbagai bidang. Pemilihan ikon ini telah diselaraskan oleh Timbalan Dekan JHEPA, Dr. Mohd Zakimi Zakaria dan dibantu oleh semua Timbalan Dekan HEPA di pusat pengajian UniMAP.
“Mengambil contoh pemilihan Ikon Mahasiswa UniMAP Julai 2019, Ram Kumar Thirumugam yang dipilih kerana pencapaian beliau yang meraih anugerah emas melalui Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) peringkat antarabangsa.
“Beliau sangat aktif dengan program kesukarelawan dan saya dimaklumkan anugerah ini mengambilkira beberapa komponen iaitu khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal, penjelajahan lasak; dan projek penempatan,” katanya.
Bagi Ram Kumar, 23, beliau gembira kerana terpilih menjadi Ikon Sukarelawan UniMAP Julai 2019 dan berpendapat pengenalan ikon UniMAP adalah sebagai salah satu penghargaan kepada pelajar yang memberikan sumbangan menaikkan nama UniMAP.
“Ini sekaligus akan meningkatkan semangat pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berkaitan dan berusaha sehabis baik mengharumkan nama UniMAP,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ditanya mengenai harapan sebagai Ikon Sukarelawan UniMAP, pelajar tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik ini berharap lebih ramai pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan atau apa jua aktiviti fizikal dan kemahiran yang tidak dapat diperolehi dalam bilik kuliah.
“Penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti terutamanya kesukarelawanan adalah bagus untuk pembentukan sahsiah diri pelajar itu agar lebih matang, berdikari, berdedikasi sekaligus mendewasakan diri kami dengan cara yang terbaik,” katanya.
Selain Ram Kumar, enam lagi pelajar yang dinobatkan sebagai ikon ialah Tiew San pei (Ikon Akademik); Siti Najihah Muhammad Ridzuan (Ikon Keusahawanan); Nur Nusrah Abdul Razak (Ikon Kebudayaan); Abqari Ajwad Kamaruzzaman (iKon Sukan); Natthavuth Senga (Ikon Kepimpinan); dan Nurlaila Kartini Faisok (Ikon Debat).