- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Norismiza Ismail
UniMAP Catat Sejarah Kemasukan Mahasiswa Diploma Tertinggi
PAUH PUTRA - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatat sejarah tersendiri apabila menerima jumlah kemasukan tertinggi mahasiswa baharu program Diploma Kejuruteraan.
Seramai 528 mahasiswa mendaftarkan diri pada Minggu Suaikenal UniMAP bagi sidang akademik 2019/2020 berbanding jumlah unjuran yang menjadikan peratusan dicatat menghampiri 120 peratus, baru-baru ini.
Daripada jumlah itu, seramai 369 adalah pelajar lelaki manakala 158 pelajar perempuan telah mendaftarkan diri bagi mengisi enam bidang pengajian Diploma yang ditawarkan.
Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R.Badlishah Ahmad berkata, tarikan utama pelajar memilih program diploma di UniMAP adalah kerana bidang yang ditawarkan mengkhusus terus kepada bidang pengajian yang dipelajari untuk bekerja di industri.
Menurutnya, ini adalah kerana kurikulum yang ditawarkan lebih bersifat komprehensif dan hands-on dan pada masa yang sama menyokong transformasi Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET).
“Selain itu, jaminan utama yang dapat diberikan ialah kesemua program diploma kejuruteraan UniMAP mendapat pensijilan penuh akreditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya ketika berucap di Program Taklimat Waris Pelajar Baharu Diploma UniMAP di Dewan Kecemerlangan Kampus UniMAP, di sini.
Hadir sama Timbalan-timbalan Naib Canselor UniMAP dan pengurusan tertinggi universiti itu.
R.Badlishah berkata antara jaminan lain ialah kebolehpasaran graduan bagi pelajar Diploma yang bergraduasi Oktober tahun lalu yang berjumlah 374 pelajar.
“Seramai 234 orang memilih untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan 90 peratus darinya memilih untuk meneruskan pengajian di UniMAP.
“101 orang pula memilih untuk bekerja antaranya di industri seperti First Solar Malaysia Sdn Bhd, HP Malaysia Manufacturing Sdn Bhd, Intel Malaysia dan Pentex Medical (Penang) Sdn Bhd manakala sebahagian kecil lagi meningkatkan kemahiran dalam bidang teknikal mahupun masih dalam proses memohon pekerjaan,” katanya.
UniMAP menawarkan program Diploma dalam Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Elektrik, Mekatronik, Mikroelektronik, Pembuatan dan Metalurgi.