A+ A A-

Kampus Uniciti Alam UniMAP Di Sungai Chuchuh Terima 350 Pelajar Diploma

Padang Besar, 1 Jun - Seramai 350 pelajar baru mulai mendaftar hari ini di Kampus Uniciti Uniciti Alam Sungai Chuchuh bagi mengikuti program pengajian peringkat Diploma di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi Sidang Akademik 2015/2016.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, pendaftaran itu melibatkan enam program diploma yang ditawarkan UniMAP iaitu Diploma Kejuruteraan Komputer,Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Mikroelektronik, Kejuruteraan Pembuatan dan Kejuruteraan Metalurgi.

Ujar beliau, UniMAP memperuntukkan 480 tempat untuk pelajar Diploma dan jumlah 350 yang telah mendaftar hari ini ini dijangka akan meningkat selepas mengambil kira proses kemasukan ambilan kedua pertengahan bulan ini.

“Pendaftaran pada kali ini amat memberangsangkan dan saya percaya Unit Penyelarasan Program Diploma (UPPD) dapat mencapai kuota 480 pelajar mendaftar pada tahun ini.

“Pelajar yang mendaftar hari ini juga merupakan kelompok pertama pelajar Diploma yang akan ditempatkan di Kampus Uniciti Alam Sungai Chuchuh sebagai satu inisiatif baru UniMAP untuk memastikan kesemua pelajar Diploma dapat menjalani kuliah dan makmal di satu kawasan yang sama,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Kampus Uniciti Alam hanya menempatkan pelajar-pelajar yang sedang mengikuti 15 program pengajian yang ditawarkan oleh Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).

Menurut Dr. Kamarudin juga, pelajar yang mendaftar masuk hari ini juga turut merangkumi 40 pelajar yang ditawarkan tempat melalui program “Jom Masuk UniMAP” yang dijalankan pada bulan April lalu.

Jelas beliau, menerusi program tersebut, UniMAP menawarkan tempat kepada pelajar-pelajar yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan dengan pendapatan di bawah RM 3,000 berdasarkan keputusan peperiksaan masing-masing.

Ujar beliau, usaha yang dilakukan oleh UniMAP ini merupakan sebahagian daripada inisiatif mereka mendokong hasrat kerajaan memperkasakan modal insan ke arah mewujudkan masyarakat berpendapatan dan berkemahiran tinggi.

“Kerajaan amat berharap pelaburan jangka panjang melalui program kemasukan khas UniMAP ini dapat menghasilkan modal insan berkualiti bagi meneruskan pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

''Sehubungan itu, inisiatif UniMAP ini merupakan bukti nyata masalah kewangan bukan lagi menjadi satu isu yang menyebabkan para pelajar daripada golongan kurang berkemampuan khususnya dari luar bandar tidak mendapat pendidikan di universiti," katanya.

Dr. Kamarudin turut menyeru agar ibu bapa untuk terus menitipkan semangat dan motivasi buat anak- mereka dalam meneruskan kehidupan baru di UniMAP.

“Saya berasa amat yakin jika ibu bapa secara berterusan dapat menasihati, menegur dan membimbing anak-anak yang dipinjamkan kepada kami dalam jangka masa tiga tahun mendatang ini, hasrat untuk menjadikan para pelajar ini sebagai Modal Insan Kamil yang Menyumbang kepada Agenda Pembangunan dan Daya Saing Industri akan dapat dilaksana dengan lebih realistik,” katanya lagi.

Kampus Uniciti Alam UniMAP