A+ A A-

MPP UniMAP Terima Hadiah Bangunan Perkasakan Kesatuan Mahasiswa

PAUH PUTRA – Bagi memudahkan urusan pentadbiran yang lebih efektif, sebuah bangunan di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dihadiahkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu.

Bangunan yang diberi nama Kompleks ‘Student union” itu dijadualkan bakal dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pendidikan pada 8 September ini sempena kehadiran beliau ke Pertandingan Debat Diraja di UniMAP.

Timbalan Yang Dipertua MPP Sidang Akademik 2019/2020, Nazifa Nordin berkata mereka amat berbesar hati menerima bangunan berkenaan sebagai lokasi tetap dalam menjalankan aktiviti mahasiswa.

“Dengan adanya kompleks ini, pelbagai aktiviti dan pentadbiran mahasiswa dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna, tambahan  universiti juga telah meluluskan projek Denai Mahasiswa yang bakal memberi impak besar terhadap mobiliti mahasiswa dari kolej kediaman ke dewan kuliah.

“Justeru, kami sangat berterima kasih kepada UniMAP khususnya Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) yang sentiasa memberi sokongan dan suntikan semangat menerusi hadiah yang penuh bermakna ini, “ kata beliau.

Bangunan yang terletak di Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik itu pada asalnya merupakan ruang legar bagi mahasiswa di PPK berkenaan serta pejabat pentabiran beberapa jabatan UniMAP yang sudah berpindah ke lokasi lain di kampus itu.

Sementara itu, Dekan JHEPA Prof Madya Dr Muzammil Jusoh berkata beliau berharap dengan kewujudan kompleks berkenaan bakal menjadi mercu kebanggaan seluruh mahasiswa UniMAP di atas keprihatinan pengurusan tertinggi terhadap mahasiswa.

Katanya, dengan adanya kompleks khas untuk mahasiswa seperti itu, seluruh mahasiswa dapat memanfaatkannya sebagai medan titik permulaan bagi melahirkan pemimpin di masa hadapan.

“ Ia selaras dengan hasrat murni kementerian untuk memperkasakan mahasiswa, justeru adalah penting Kesatuan Mahasiswa mempunyai ruang dan bilik gerakan yang sesuai bagi merancang, melaksana dan mentadbir urusan keperluan mahasiswa termasuk semua persatuan yang berdaftar di UniMAP, “ kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, menerusi kompleks berkenaan juga Kesatuan Mahasiswa diberi kebenaran menguruskan sendiri ruang berniaga atau kafeteria bagi menjana pendapatan mereka sendiri sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pihak universiti.

“Ini juga dapat melatih kesatuan untuk terlibat dengan keusahawanan dan pendedahan tbagi melaksankan urus tadbir yang baik dan sempurna,” katanya.