A+ A A-

Pengerusi LPU UniMAP Menamatkan Perkhidmatan Hari Ini

Kangar, 31 Julai - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin menamatkan perkhidmatan sebagai peneraju lembaga pengarah universiti kejuruteraan itu, hari ini.

Datuk Kamarudin dilantik menggalas tugas sebagai Pengerusi LPU UniMAP pada 1 Oktober 2018 bagi menggantikan Dato' Dr Mohd Sofi Osman selepas beliau menamatkan perkhidmatan jawatan sama pada 31 Julai 2018 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) sejak berkhidmat di universiti muda itu sejak 1 Mac 2017.

 


Beliau juga adalah mantan Naib Canselor UniMAP yang pertama dan melepaskan jawatan itu selepas mengemudi universiti selama 14 tahun sekaligus menjadi Naib Canselor paling lama berkhidmat di Malaysia.

Terdahulu, Datuk Kamarudin mengambil peluang bertemu dengan dekan-dekan serta ketua-ketua jabatan UniMAP bagi menyampaikan amanat terakhir beliau sebelum meninggalkan kerusi pengerusi LPU itu.

Menurut beliau, UniMAP perlu mengambil peluang dengan menguatkan lagi hubungan kerjasama dengan pelbagai universiti kerana ia penting memandangkan UniMAP masih dalam fasa membangun.

Katanya, selain itu jaringan industri juga sangat penting kepada universiti namun walaupun mempunyai hubungan yang baik dengan industri, namun agak terhad terutama dengan agensi kerajaan.

"Seterusnya, kita juga perlu bangunkan semula semangat kerja berkumpulan dan saling menghormati di antara kita selain pemahaman mengenai bidang tugas setiap pusat tanggungjawab (PTj) juga sangat penting," kata beliau yang turut diraikan sebagai tanda penghargaan di atas khidmat bakti dan jasa beliau sepanjang berkhidmat sebagai Pengerusi LPU.

Tambah beliau, mahasiswa juga adalah aset penting bagi sesebuah universiti justeru beliau melahirkan harapan agar warga UniMAP mengambil berat terhadap mahasiswa kerana mahu UniMAP dapat melahirkan graduan hebat dan terbaik dalam pemikiran serta kepimpinan.

Ujarnya, di masa depan, UniMAP akan dikenali dengan program TVET dan universiti akan menawarkan Ijazah dalam bidang teknologi.

"Malah, saya juga berharap alumni-alumni UniMAP kembali menabur bakti kepada universiti sama ada dapat membantu dari segi idea atau jaringan sebagai salah satu usaha melahirkan graduan diminati industri dan mempunyai bakat istimewa," kata beliau yang menyambut baik agar mahasiswa UniMAP diberi kebebasan dan dibenarkan untuk menjadi pemerhati dalam mesyuarat Jawatankuasa Senat.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Mohd Foad Sakdan yang memangku tugas Naib Canselor, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad yang berada di luar negara atas urusan rasmi turut menzahirkan penghargaan terhadap segala sumbangan dan jasa Datuk Kamarudin yang tidak pernah jemu membantu UniMAP membangun dengan cemerlang.

Untuk rekod, Datuk Kamarudin juga adalah pengasas UniMAP apabila dilantik menjadi Rektor Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) yang ketika itu beroperasi di kampus sementara di Kubang Gajah, Arau dengan menerima mahasiswa pertama seramai 119 orang bagi dua program yang ditawarkan iaitu Mikroelektronik dan Komputer.

KUKUM kemudiannya dijenamakan semula kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 1 Februari 2007 dan majlis perasmian disempurnakan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP.