- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aida Othman
UniMAP MTUN Pertama Tubuh Akademi ICT Huawei
Kangar , 2 Ogos – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi universiti pertama dari kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang diperakukan sebagai rakan strategik Huawei Malaysia untuk melaksanakan program Akademi Maklumat dan Rangkaian Berdaftar Huawei (HAINA).
Kerjasama tersebut sekaligus membolehkan sebuah akademi tidak berasaskan keuntungan; Akademi ICT UniMAP-Huawei ditubuhkan di UniMAP yang turut menjadikan universiti berkenaan satu daripada sembilan universiti awam dan swasta di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut.
Naib Canselor UniMAP Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata, kerjasama strategik bersama syarikat gergasi telekomunikasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu antara lainnya membolehkan UniMAP mengendalikan latihan pensijilan Huawei kepada mahasiswanya.
Jelas beliau, UniMAP berbangga dan berasa bertuah kerana diberi kepercayaan oleh syarikat itu yang mana ia juga adalah selaras dengan agenda universiti dalam mempersiapkan pelajar dengan perkembangan teknologi selaras dengan revolusi industri 4.0 (IR4.0).
“Bagi pihak Huawei pula, ia merupakan sebahagian inisiatif global syarikat berkenaan bagi menyokong pembangunan kemahiran ICT sekaligus kerjasama antara kedua-dua pihak dapat menangani kekurangan profesional ICT di negara ini.
“Kedua-dua pihak akan mewujudkan platform untuk kerjasama teknikal antara industri dan rakan kongsi kerajaan melalui aktiviti penyelidikan, pendidikan dan latihan secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Prof R Badlishah berkata, kerjasama ini secara tidak langsung mewujudkan satu jambatan yang menghubungkan akademia dan industri bagi memupuk bakat ICT serta melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran ICT yang diperlukan.
Pada masa sama, beliau berkata, ia juga merupakan sebahagian persediaan universiti untuk memupuk tenaga kerja masa depan bagi mengisi jurang kemahiran ICT di peringkat global.
“Kerjasama ini kelak bakal memberi manfaat kepada kira-kira 200 pelajar di Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan UniMAP, dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dalam tempoh dua tahun.
UniMAP akan terus komited bagi merealisasikan strategi dan hasrat Huawei dalam merapatkan jurang digital, pemindahan kemahiran dan membangunkan sitausi menang-menang dengan komuniti khususnya mahasiswa,” katanya.