- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aida Othman
Sutera 2019 Martabatkan Sastera, Bahasa & Budaya Nusantara
LANGKAWI, 2 Ogos - Universiti-universiti dari Indonesia dan Malaysia harus dicantumkan semula menerusi tenaga bahasa, budaya dan warisan supaya kedua-dua buah negara itu khasnya dapat memberi contoh hebat kepada dunia tentang budaya masa depan.
Sekalipun ia tidak mudah memandangkan bahasa dan budaya sudah dicemari gelombang Barat yang besar namun kita harus mencuba untuk kembali merentasi zaman 45 hingga 50-an supaya kekuatan tenaga bahasa dan budaya dapat digarap semula seperti zaman itu.
Demikian ucapan Pengerusi Yayasan Budi & Yayasan Warisanegara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Susastera, Bahasa dan Budaya Nusantara (SUTERA) 2019 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Pusat Bahasa dan Antarabangsa (PBA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang buat julung kalinya diadakan.
Seminar dengan tema Bahasa, Sastera & Budaya Mendepani Era Revolusi Industri 4.0 itu berlangsung selama dua hari di Auditorium Pusat Penyelidikan UKM, di sini mulai 1 Ogos dan hari ini membabitkan 100 peserta iaitu dari negara jiran Indonesia, Belanda serta Malaysia sendiri.
Tambah beliau, tiada ertinya Revolusi 4.0 sekiranya bangsa Nusantara tidak berada di dalamnya justeru kita perlu melestarikan budaya dengan mengindahkan kembali bahasa Melayu walaupun ia agak sukar kerana struktur bahasa itu mengalami banyak perubahan dan sebati dengan masyarakat.
"Bukan mudah, namun kita mesti cuba dalam pemikiran dan perbuatan kita serta keluarkan pandangan kepada wakil-wakil kita terutama Ahli Parlimen Langkawi, yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi merelalisasikan penyatuan bahasa, budaya dan warisan di Nusantara.
"Kita juga harus berani menterjemahkan semula istilah jurutera dan sains supaya kita berupaya melahirkan bahasa ilmu kita semula,” ujarnya.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Raduan Che Ros, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM Prof Dr Supyan Hussin wakil Naib Canselor UKM dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP Dr Mohd Hanafi Ibrahim wakil Ketua Pengarah DBP.
Terdahulu, R Badlishah berkata SUTERA 2019 itu dianjurkan adalah bagi memartabat dan memperjuangkan ketuanan, kekuatan dan wibawa sesebuah tamadun yang berdiri atas semangat penghayatan sastera, bahasa dan budaya nusantara di mata dunia.
Katanya, seminar berkenaan juga merupakan medan ilmu bagi penyelidik, ahli akademik, pendidik dan mahasiswa dari seluruh dunia khususnya dunia Melayu bertemu dalam usaha perkongsian serta pelestarian ilmu bahasa, sastera, dan budaya nusantara berasaskan kajian dan penyelidikan.
“Selain itu, SUTERA 2019 turut diserikan dengan barisan pengucap utama iaitu Prof Datuk Dr Awang Sariyan dengan tajuk ucaptama Naratif Abadi Dalam Pengajian dan Pendidikan Bahasa, Dr Faizal Musa yang juga dikenali Faizal Tehrani (Sastera Harus Setia Kepada Sastera, Bukan Yang Lain) dan Dr Suryadi (Kebudayaan dan Identiti Nasional Di Era Revolusi Industri 4.0), “ kata beliau.