A+ A A-

Timbalan Naib Canselor (P&I) dan Jurnal UniMAP Terima Anugerah DI MRSA 2019

 

Putrajaya, 6 Nov – Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima Anugerah Malaysia Research and Innovation Excellence (Science & Applied Science) di Majlis Malaysia’s Research Star Award (MRSA 2019) & Pengiktirafan Jurnal Creme 2019.

Prof Dr Uda Hashim menerima anugerah berkenaan di majlis anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia itu bagi kategori Research & Innovation Excellence (Researcher) (Clarivate Analytics) manakala Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, Prof Madya Dr Ong Soon An dalam kategori Prominent Topics in Research (Elsevier).

 

Dr Uda berkata pemilihan bagi meraih anugerah itu dibuat oleh pihak Elsevier dan Clarivate Analytics sebagai satu pengiktirafan kepada penyelidik tempatan yang berpotensi dalam penghasilan karya berimpak tinggi dan dirujuk oleh dunia.

Katanya, ia juga sebagai pengiktirafan kepada jurnal Malaysia yang telah memperlihatkan prestasi tinggi dalam pangkalan data antarabangsa iaitu Web of Science (WoS) dan Scopus.

“Penganugerahan ini merupakan pencapaian yang membanggakan kerana UniMAP sentiasa memberi fokus kepada aktiviti penyelidikan dan aktif bagi memperkasakan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” kata beliau.

Anugerah –anugerah itu disampaikan Ketua Setiausaha KPM Dato’ Dr Mohd Gazali Abas yang mewakili Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang turut merasmikan majlis berkenaan.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Dato’ Kamel Mohamad.

Selain anugerah-anugerah itu, pihak Clarivate Analytics turut menganugerahkan Hot Review Paper (satu penerima) serta universiti terbaik dalam penyelidikan & inovasi, manakala pihak Elsivier menganugerahkan 12 penyelidik sebagai penerima MRSA bagi kategori International Collaboration (tiga penerima), Citation Classic (empat penerima) dan Young Researcher (satu penerima).

Sementara itu, pada majlis sama turut berlangsung pengiktirafan Jurnal Creme 2019 kepada 27 jurnal Malaysia yang menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa berdasarkan metrik jurnal CiteScore, Impact Factor, Quartile Journal dan jumlah sitasi.

Jurnal dari UniMAP, International Journal of Nanoelectronics and Materials (IJNeaM) diketuai Dr Ramzan Mat Ayub serta diselaraskan oleh Penerbit UniMAP menerima pengiktirafan berkenaan yang bermula sejak 2008 dan diterima terindeks oleh Scopus pada 2013 sekaligus disenaraikan sebagai Emerging Source Citation Index sejak 2017.