A+ A A-

Pens Industries Taja Penyelidikan Batu Kapur UniMAP

KANGAR, 8 Januari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Pens Industries Sdn Bhd menandatangani perjanjian persetujuan tajaan (SRA) bagi membiayai projek penyelidikan berkaitan penghasilan batu kapur.

UniMAP menerusi Technopreneur at UniMAP Sdn Bhd (TUSB) diwakili Naib Canselornya Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad manakala Pens Industries diwakili Pengarah Eksekutifnya, Syed Atif Syed Abu Bakar.

Anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) itu memberi tajaan sebanyak RM500,000 dengan (TUSB) yang juga anak syarikat UniMAP Holdings bagi projek ‘Propertise and Classification Analysis of Limestone (Pens Industries) & Digital Mapping for Geospatial Mapping’ dengan dua pelaksanaan.

Dr R Badlishah berkata kerjasama terjalin di antara UniMAP dan Pens Industries menerusi pasukan penyelidik UniMAP dan industri berkenaan sejak tahun lalu berkaitan penghasilan batu kapur serta pelbagai bidang penyelidikan lain.

 

Ujarnya, syarikat berkenaan juga sentiasa terbuka menerima lawatan industri daripada pelajar dan pensyarah UniMAP bagi melihat dengan lebih dekat sekaligus memberi pengalaman yang berguna kepada warga universiti.

“Malahan, persetujuan tajaan berkenaan juga sebagai salah satu pengiktirafan dan kepercayaan Pens Industries kepada kepakaran UniMAP khususnya berkaitan penyelidikan yang berimpak. Terima kasih di atas kepercayaan ini, “ kata beliau.

Turut hadir ke majlis menandatangani SRA berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengarah TUSB, Prof Emeritus Dato’ Wira Mohd Salleh Din, dan Pengarah TUSB Mohamad Shariff.

Tambah Dr R Badlishah, projek itu akan diketuai oleh Ts Muhammad Azizi Azizan (Fakulti Teknologi Kejuruteraan) bersama dengan dua penyelidik pakar lain iaitu Prof Ts. Dr. Hazry Desa dari Pusat Kecemerlangan Sistem Tanpa Pemandu (COEUAS) dan Prof Madya Ts Dr Nik Noriman Zulkepli (Fakulti Teknologi Kejuruteraan) bermula pada 18 Mei 2019 selama 12 bulan.

“Dana ini juga telah membantu Pens Industries dalam mengoptimumkan pelaburan strategik dari Thailand, India dan Belanda dengan hasil penyelidikan berimpak yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik ini,” katanya.

 

 

 

Tagged under: UniMAP,