- Kategori: BERITA - Malay
Karnival Kerjaya NICE Bantu Lonjak Kebolehpasaran Graduan
Pauh Putra, 21 Mac – Karnival Kerjaya Northern Industrial Career Engagement (NICE) yang dianjurkan bersama Pusat Kerjasama Industri & Industri Kerajaan (CIGC) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membantu melonjakkan lagi kebolehpasaran graduan Institusi Pengajian Tinggi.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin dalam ucapannya berkata Karnival Kerjaya ini merupakan salah satu tunjang usaha UniMAP dalam memastikan modal insan yang dihasilkan bukan sahaja mapan dari segi akademik, malah dari segi kesiapsiagaan menempuhi cabaran pasaran kerja abad ke-21.
“Ini merupakan platform yang terbaik kepada bakal graduan untuk terus menjalani temuduga terbuka di syarikat-syarikat nasional dan multinasional, pemahaman berkenaan industri yang bakal diceburi, keusahawanan, penampilan diri dan pembangunan sahsiah, kemahiran berkomunikasi dan keberanian berdepan dengan saingan alam pekerjaan.
Matlamat utama NICE adalah untuk “spearhead” kebolehpasaran dan kerjaya (Graduate Employability) para pelajar UniMAP yang akan bergraduat pada tahun ini,” katanya.
Menurut beliau KPI yang ditetapkan oleh kementerian pada 2015 adalah setinggi 80 peratus graduan harus berkerja setelah enam bulan dari tempoh bergraduat.
“Saya optimis dengan kekuatan dan kemampuan CIGC, dan sebab itu saya meletakkan KPI NC UniMAP kepada CIGC adalah 90 peratus mendapat pekerjaan setelah enam bulan bergraduat, dan 60 peratus harus mendapat pekerjaan menjelang konvokesyen pelajar pada September 2015,” katanya.
Lebih 2,500 pengunjung yang terdiri daripada para pelajar UniMAP serta IPT seluruh negeri Perlis telah mengunjungi NICE 2015 yang berlangsung selama dua hari bermula 21 hingga 22 Mac 2015 di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP Pauh Putra.
Sebanyak 35 syarikat telah mengambil bahagian pada karnival kerjaya tersebut dengan jumlah kekosongan jawatan adalah 1000.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Chuping , Asmaiza Ahmad yang mewakili Menteri Besar Perlis.