A+ A A-

UniMAP Perkukuh Hubungan Dengan Universiti di Jepun

KANGAR, 6 Februari – Selaras dengan usaha transformasi pendidikan tinggi negara, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengorak langkah jauh ke negara matahari terbit bagi melonjakkan hubungan antara UniMAP dengan universiti negara berkenaan.

Usaha itu direalisasikan sempena lawatan rasmi delegasi UniMAP diketuai Naib Canselornya ke negara itu menerusi majlis menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) di antara UniMAP dan Universiti of Yamanashi (UoY), Jepun.

Dalam majlis itu, UniMAP diwakili Naib Canselor UniMAP Prof Ir Dr R Badlishah manakala UoY diwakili Presidennya Prof. Shinji Shimada.

 

Dr R Badlishah Ahmad berkata perjanjian itu antara lain adalah bagi menawarkan program dwi Ijazah Doktor Falsafah (PhD), dengan fokus awal pada bidang kejuruteraan.

“Ini adalah program dwi sarjana pertama ditawarkan oleh UniMAP dan UoY , yang menyediakan pelajar mengambil bahagian di bawah program ini berpeluang untuk belajar dari saintis terkemuka dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

"Pelajar yang lulus dari program ini akan dianugerahkan ijazah PhD dari setiap universiti apabila berjaya menamatkan pengajian serta membolehkan para pelajar mendapat manfaat daripada mutu pengajaran, menyelami budaya dan pembelajaran yang berbeza, selain membina kecekapan dan daya saing global di antara kedua-dua buah universiti,” kata beliau dalam satu kenyataan selepas majlis itu yang diadakan di UoY.

Turut hadir Dekan Fakulti Kejuruteraan UoY  Prof. Nobuhiro Kumada, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan UniMAP Prof. Dr. Azremi Abdullah Al Hadi, Dekan PPK Mekatronik UniMAP Dr. Muhammad Juhairi Aziz Safar dan Penyelaras Program Dual Degree UniMAP ke Jepun Prof Madya Dr. Latifah Munirah Kamarudin.

UoY yang terletak di persekitaran semulajadi yang indah, berhampiran pergunungan terkenal, Fuji mempunyai sejarah kerjasama yang panjang dengan universiti kejuruteraan di utara negara itu yang bermula sejak 2006.

Tambah Dr R Badlishah, kedua-dua universiti itu telah membangunkan perkongsian pelbagai aspek, dan berjaya menerima pembiayaan untuk membawa 10 siswazah UniMAP ke UoY di bawah Program Pertukaran Sains Sakura pada 2017 dan 2019.

“Pada tahun ini, delegasi UniMAP terdiri daripada 15 orang, diketuai oleh Prof Madya  Dr. Ammar Zakaria bersama  Dr. Latifah Munirah, Dr. Yuzairi Abdul Rahim dan Dr. Syed Muhammad Mamduh Syed Zakaria.

“Program Pertukaran bukan sahaja berfungsi sebagai platform untuk pertukaran pengetahuan, tetapi juga sebagai penyelidikan rangkaian penyelidikan untuk meningkatkan kolaborasi dan penerbitan penyelidikan antarabangsa,” kata beliau.

Terdahulu, dalam rangka lawatan lima hari ke Jepun, delegasi UniMAP juga turut mengadakan lawatan kerja ke universiti lain seperti Tokyo Institute of Technology, Polytechnic University of Japan, Tohoku University dan ke industri pintar Panasonic.