- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aininulniza
Empat Kolej Kediaman UniMAP Dijenamakan Kompleks Perumahan UniMAP
KANGAR, 16 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa berusaha menawarkan kolej kediaman yang terbaik kepada mahasiswanya walaupun terdapat kekurangan di beberapa unit pangsapuri yang dijadikan penginapan.
Bagi mengatasi kekurangan itu, empat kolej kediaman di universiti itu yang berkonsepkan sewaan pangsapuri dari beberapa agensi kerajaan dan orang perseorangan dijenamakan semula dari Kolej Kediaman UniMAP kepada Kompleks Perumahan UniMAP.
Naib Canselornya, Prof. Ir. Dr. R Badlishah Ahmad berkata penjenamaan semula kolej kediaman itu adalah kerana ia dapat membuka lebih luas peranan serta fungsinya dalam memenuhi keperluan pelajar serta staf di UniMAP.
Ujarnya, peranan dan fungsi empat kolej kediaman berbentuk pangsapuri ini perlu dijenamakan semula agar fungsinya dan kegunaannya selaras dengan rekabentuk asal rumah kediaman itu sebagai sebuah pangsapuri.
“Lebih istimewa apabila ia diiktiraf sebagai sebuah Kompleks Perumahan, kepelbagaian status penghuni-penghuni rumah dapat dilakukan di mana ia bukan hanya tertumpu kepada pelajar sahaja, bahkan pelajar yang berkeluarga mahupun staf juga boleh memohon untuk menyewanya,” kata beliau ketika berucap di Majlis Perasmian Penjenamaan Kolej Kediaman kepada Kompleks Perumahan, di Kompleks Perumahan Tan Sri Aishah Ghani (KPTAG) , Wang Ulu, dekat sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof Dr Mohd Foad Sakdan, Pengerusi Majlis Pengurusan Kolej Kediaman Dr. Hirwan Jasbir Jaafar, Pengetua KPTAG Ir. Dr. Razaidi Hussin serta pengetua-pengetua kolej kediaman UniMAP.
Tambah Dr. R Badlishah, kolej-kolej kediaman yang terlibat dengan penjenamaan semula ini adalah Tan Sri Aishah Ghani (Kangar), Tun Abdullah Ahmad Badawi (Simpang Empat), Uniciti Alam (Padang Besar), dan Pauh Putra.
“Dua kolej kediaman berbentuk asrama milik penuh UniMAP dikekalkan sebagai kolej kediaman iaitu Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah dan Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman yang berada di dalam kampus.
“Di samping itu, dengan penjenamaan sebagai sebuah Kompleks Perumahan, aspek-aspek keselesaan dan keselamatan dapat ditingkatkan demi memastikan penghuni-penghuni Kompleks Perumahan UniMAP selesa tinggal disini,” katanya.
Terdahulu, Dr. R Badlishah sempat meluangkan masa menerusi Program Kayuhan Bersama Naib Canselor dari Padang Katong ke KPTAG sejauh lapan kilometer.
Sempena program berkenaan, beliau bersama peserta kayuhan turut menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal tiga anak, Bedah Kapi yang tinggal di Kampung Behor Janggus, dekat sini.
Ibu tunggal sejak 20 tahun itu hanya bekerja sebagai tukang cuci secara sambilan dengan gaji sebulan RM400 bagi menampung keperluan harian keluarganya.
Sementara itu, seramai 200 penghuni KPTAG menjalankan program gotong-royong bagi membersihkan dan mencantikkan kawasan di KPTAG.