A+ A A-

UniMAP Juara Keseluruhan Kejohanan Woodball Empat Penjuru Agensi Pendidikan Perlis

PAUH PUTRA,9 Mac - Pasukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul sebagai juara keseluruhan sulung bagi Kejohanan Woodball Empat Penjuru Agensi Pendidikan sempena Pra Pelancaran Kejohanan Woodball POLYCC 2020 di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, di sini, baru-baru ini.

Tempat kedua dimenangi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dan ketiga pasukan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAAS).

Majlis Penyampaian hadiah disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Perlis (PWPs).

 

Dalam titahnya, baginda berharap agar penganjuran Kejohanan Piala Dunia Woodball 2020 (WCWC2020) di Perlis pada 24 hingga 30 Julai nanti akan menjadi antara yang terbaik.

“Adalah dirasakan Perlis sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menyambut delegasi daripada kira-kira 20 buah negara termasuklah negara jiran kita Thailand, Taiwan, Korea Selatan, Uganda dan Hong Kong mengambil bahagian.

“Serta dijangkakan lebih 3,000 orang akan turut serta menjayakan kejohanan tersebut. Didoakan juga semoga isu virus Corona atau Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini akan segera diatasi supaya para peserta dapat datang beramai-ramai ke negeri Perlis,”titah baginda lagi. 

Turut hadir ialah Pengarah PSSAAS, Dr. Mohd Zahari Ismail dan Pengarah JPN Perlis, Izmi Ismail, Naib Canselor UniMAP , Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad serta  Pengarah PTSS Perlis, Abdul Malek Hassan.

Kejohanan Woodball Empat Penjuru Agensi Pendidikan sempena Pra Pelancaran Kejohanan Woodball POLYCC 2020 merupakan anjuran bersama PSSAAS dan JPN Perlis dengan kerjsama PTSS dan UniMAP.

Kejohanan selama sehari itu disertai 21 buah pasukan dari institusi pendidikan di Perlis.

Sementara itu, Kolej Matrikulasi Perlis mengungguli Kategori Jemputan, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis memenangi Kategori Pelajar, UniMAP menjuarai Kategori Staf dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis menjadi johan Kategori VIP.

Kejohanan ini adalah sebahagian daripada persiapan Perlis bagi memantapkan pemain, kemudahan tempat perlawanan dan kualiti padang serta pengurusan kerana bakal menjadi tuan rumah WCWC2020. 

 

 

Tagged under: UniMAP, berita,