- Kategori: BERITA - Malay
Kawad Formasi Inovasi UniMAP Wujud Kesepaduan Badan Beruniform
Kangar, 1 April 2015 – Dalam usaha mewujudkan integrasi kesepaduan dan keakraban antara ahli-ahli kadet badan beruniform, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan pertandingan Kawad Formasi Inovasi yang diadakan di Padang Terbuka, Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani (KKTSAG) di sini, baru-baru ini.
Program anjuran Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) Tan Sri Aishah Ghani dengan kerjasama Pusat Ko-Kurikulum dan PALAPES adalah bersempena Karnival Teknokrat Muda (KTM) yang berlangsung dari 23 hingga 30 Mac 2015.
Menurut Penolong Pengetua KKTSAG merangkap Leftenan bagi PALAPES UniMAP, Muhamad Azuan Mohamad Nasir, pertandingan ini membantu perkembangan dan pembangunan pasukan secara khususnya di samping mewujudkan integrasi antara kaum untuk bekerjasama antara satu sama lain.
“Pelajar akan menjadi lebih inovatif dan kreatif kerana perlu melakukan kawad yang luar dari kebiasaan sekaligus membina keyakinan ahli kadet mengenai kebolehan dan keupayaan diri mereka.
“Malah mereka juga mendapat pengalaman, pengetahuan dan kemahiran untuk mencapai kendiri positif bagi memajukan diri serta mampu menghadapi sebarang situasi di masa hadapan,” katanya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan. Turut hadir adalah Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UniMAP, Mejar Profesor Dr. Zaliman Sauli; Pengarah Unit Perumahan dan Penginapan Pelajar, Dr. Midhat Nabil Ahmad Salimi; dan Pengetua KKTSAG, Dr. Ragunathan A/L Santiagoo.
Dr. Fo’ad dalam ucapannya menyifatkan, pembangunan inovasi dan kreativiti pelajar adalah salah satu cabaran terbesar kepada negara dan UniMAP.
“Sekiranya kita ingin melangkah ke era globalisasi dengan berpaksikan pengetahuan dan menjadikan negara kita maju ke hadapan, maka kita hendaklah memastikan pelajar kita mampu berdaya saing dengan pelajar luar negara,” katanya.
Pertandingan Kawad Formasi Inovasi yang bertemakan Inovasi dan Pencahayaan adalah julung kali diadakan dan telah disertai sembilan kontinjen yang terdiri daripada PALAPES, KOR SISPA, SUKSIS, Bomba, St. John, RELASIS, Pandu Puteri, Brass Band dan Kelana Laut.
Johan pertandingan dimenangi oleh kontinjen PALAPES yang membawa pulang wang tunai RM 100.00, hamper, plak, piala pusingan dan sijil.
Manakala Naib Johan dirangkul oleh KOR SISPA yang turut meraih Ketua Platun Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM 70.00, hamper, plak dan sijil.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh SUKSIS dengan membawa pulang wang tunai RM 50.00, hamper, plak dan sijil.
Bagi hadiah saguhati tempat keempat hingga kesembilan, mereka masing-masing membawa pulang hamper dan sijil penyertaan.