- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aininulniza
UniMAP CIPTA KEPELBAGAIAN AKTIVITI DALAM CUTI WABAK COVID-19
Arau – Selepas menghasilkan inovasi dalam teknologi merekod kedatangan menggunakan GPS, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), memanfaatkan tempoh tempoh dua minggu Arahan Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan menyediakan pelbagai inovasi dalam program dan aktiviti menarik khusus untuk mengisi masa terluang para pelajar.
Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, kesemua program tersebut dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MPKK) di bawah penyeliaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).
Beliau menjelaskan, meskipun terbuka kepada semua pelajar, penganjuran program tersebut antara lainnya bertujuan mengisi masa terluang lebih 750 pelajar yang memilih untuk terus kekal di Pusat Penempatan UniMAP sepanjang tempoh kawalan tersebut.
Jelasnya lagi, memandangkan kesemua aktiviti pengajaran dan pembelajaran dihentikan buat sementara waktu, justerus penganjuran aktiviti tersebut diharap dapat membantu pelajar mengisi waktu dengan aktiviti yang berfaedah.
“Dalam keadaan sekarang, kita sedar ruang dan pengisian pelajar yang kekal berada di UniMAP adalah terbatas. Justeru, Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan dan pasukannya telah merencana pelbagai program menarik untuk pelajar beserta hadiah kepada pemenang.
“Namun, penganjuran aktiviti ini masih kekal mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu tidak membabitkan perhimpunan ramai, kawalan jarak antara pelajar selain para pelajar turut akan dipantau tahap kesihatan oleh pasukan petugas kesihatan UniMAP setiap dua hari,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, hamper keseluruhan program yang dianjurkan adalah bertemakan Covid-19 antaranya pertandingan menulis cerpen yang mana kesemua cerpen yang diterima juga akan dibukukan selepas melalui proses semakan oleh panel penilai.
“Selain itu, bagi menyokong inisiatif kerajaan dalam menggalakkan penglibatan pelajar dalam e-sukan, satu pertandingan e-sukan juga akan dikendalilkan oleh pasukan pelajar selain pertandingan poster Covid-19 selain pertandingan pidato berdurasi tiga minit yang juga mengutarakan topik Covid-19.
“Dalam menggalakkan budaya membaca serta memaksimakan penggunaan platform buku digital, pertandingan Nilam turut mengisi slot aktiviti pelajar yang memerlukan setiap pelajar menulis rumusan bagi setiap buku yang telah di baca.
“Kesemua pertandingan ini akan berlangsung mulai 20 hingga 30 Mac ini dengan pemenang bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai RM250,” ujarnya lagi.