A+ A A-

UniMAP Mengalu-alukan Sumbangan COVID-19

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA: Selepas melancarkan Tabung Bantuan Bencana Covid-19 (TBBC) baru-baru ini, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)menerima pelbagai sumbangan daripada individu mahupun syarikat swasta.

Selain sumbangan menerusi pindahan segera (instant transfer) dan aplikasi JomPay, Universiti turut menerima peralatan bagi memudahkan urusan saringan kesihatan terhadap pelajar yang menginap di dalam kampus.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr. R Badlishah Ahmad berkata pihak Universiti menerima 34 botol pembasuh tangan dan empat unit jangka suhu dari Examust Sdn Bhd selain sumbangan makanan daripada Rass Design yang diletakkan di Bank Makanan Siswa.

Ujarnya, negeri Sabah dan Selangor juga turut memberi tajaan makanan kepada anak-anak pelajar UniMAP yang tidak pulang ke kampung dengan menempah terus di kafeteria di penempatan berpusat di Kolej-kolej Kediaman di dalam kampus, di sini.



"Pelajar-pelajar yang menginap di penempatan berpusat ini juga disediakan makanan tiga kali sehari secara bergilir oleh pengusaha kafeteria iaitu AJR Cafe, Kopitiam Cafe, dan Arman Cafe manakala restoran makanan segera Mcdonald juga bakal menghulurkan sumbangan makanan yang akan dimaklumkan kelak,"katanya.


Terdahulu, lebih 700 pelajar UniMAP memilih untuk kekal di penempatan berpusat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 18 Mac lalu dan ditempatkan di dua kolej kediaman iaitu Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah dan Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman.

Tambah Dr. R Badlishah pihak UniMAP amat berbesar hati kepada penyumbang yang secara tidak langsung berganding bahu mengekang penularan wabak COVID-19 di Universiti itu.

" Terima kasih yang tidak terhingga kepada penyumbang , walaubagaimanapun UniMAP masih mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan yang boleh dimanfaatkan oleh petugas bencana COVID-19 dan pelajar UniMAP yang berada di dalam kampus.

"Antara kelengkapan yang masih belum mencukupi adalah jangka suhu bagi memudahkan saringan kesihatan yang dilakukan tiga hari sekali dan topeng muka untuk kegunaan petugas," kata beliau.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Bencana yang dipengerusikan beliau turut merancang agar petugas Pusat Kesihatan Universiti dapat menerima insentif sepertimana yang dinikmati kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, namun perkara itu masih dikaji.

"Sebelum ini pengurusan universiti telah memperuntukkan dana RM100,000 bagi menggerakkan TBBC selain untuk membiayai kebajikan petugas bencana seperti Keselamatan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) serta kolej kediaman yang turut sama berkorban masa dan tenaga menjaga kebajikan pelajar di dalam kampus, "katanya.

 

Tagged under: UniMAP, berita, Covid19,