A+ A A-

PTSFP UniMAP CIPTA PELINDUNG MUKA UNTUK BARISAN HADAPAN COVID-19

Oleh : Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 25 MAC -Sejak kes pertama COVID-19 dikesan di negara ini pada 25 Januari lalu, peralatan seperti topeng muka, sarung tangan, pencuci tangan, sabun berubat menjadi tumpuan orang ramai.

Malah kebanyakan barangan tersebut telah habis di pasaran dek sindrom pembelian panik atau panic buying yang melanda sebahagian masyarakat yang memberi impak kebarangkalian jangkitan kepada orang lain yang tidak mempunyai peralatan tersebut.

Atas rasa tanggungjawab yang tinggi, sebahagian kakitangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka untuk 48 kakitangan Jabatan Keselamatan UniMAP.


Menurut Ketua Pustakawan PTSFP UniMAP Mazmin Mat Akhir, ide menghaslkan pelindung muka ini dicetuskan oleh Pengurusan Universiti yang sememangnya sangat perihatin terhadap kesejahteraan dan keselamatan pegawai barisan hadapan UniMAP agar terjaga dan tidak terjejas dengan penularan wabak ini.

“Mereka adalah barisan hadapan UniMAP yang bertugas siang dan malam bagi memastikan pelajar dan warga UniMAP yang berada dalam kampus bebas COVID-19.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami pula sebagai warga UniMAP membantu memastikan diri mereka dalam kondisi yang bebas COVID-19 dengan menyediakan pelindung muka ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, untuk merealisasikan hasrat itu beliau bersama kakitangannya iaitu Azni Yantee Abdul Raoh, Hasdarinar Abdul Jalal, Mohd. Shahrul Annuar Alawi dan Norshafira Yahya bertungkus-lumus menyiapkan pelindung muka ini dalam masa kurang dari tiga hari kerana kekangan sumber.

Ujar Mazmin lagi, pelindung muka ini boleh dihasilkan oleh sesiapa juga di rumah atau pejabat kerana menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi serta diubahsuai.

"Kami menggunakan bahan-bahan seperti pelapik getah (rubber mat); Polivinil klorida (PVC); pelekat Velcro (Velcro straps) ; gam; pembalut plastik; dan pelekat dua belah (double sided tape) yang bersaiz satu inci.

“Kami berharap dengan adanya pelindung muka ini dapat membantu menjaga keselamatan mereka untuk terus berkhidmat dan memberi bakti bukan sahaja kepada UniMAP tetapi kepada Malaysia,” katanya.

Malah Mazmin turut menyeru rakyat Malaysia supaya mengambil inisiatif dengan menghasilkan pelindung muka sendiri sekiranya mereka tidak mempunyai topeng muka atau face mask terutama ketika keluar dari rumah.

Sementara itu, pegawai keselamatan UniMAP, ASP/PB Khairul Usaidi Harun menyifatkan pemberian pelindung muka oleh PTSFP ibarat orang yang mengantuk disorong bantal berikutan masalah kekurangan topeng muka.

“Sebelum ini tiada pelindung muka dan kami sememangnya benar-benar memerlukan peralatan ini kerana setiap hari tugasan kami menuntut untuk sentiasa berada di luar bagi menjaga dan memantau keadaan semasa kampus.

“Terima kasih kepada PTSFP kerana menghasilkan pelindung muka yang mengurangkan risiko penularan kepada kami sekaligus membantu melancarkan tugasan kami untuk mengekang COVID-19,” katanya.

Tambah Khairul Usaidi, dengan adanya pelindung muka ini mereka lebih giat menjalankan tugas apabila menutup keseluruhan pintu masuk utama ke UniMAP selari dengan pelaksanaan PKP.

“Hanya staf tertentu dan pekerja kontrak swasta yang diberikan senarai nama oleh majikan mereka sahaja yang boleh memasuki UniMAP dan wajib melalui saringan kesihatan.

“Rekod masuk dan keluar juga dicatatkan bagi memastikan tiada siapa berada dalam kampus pada masa yang tidak sepatutnya,” katanya.

Ujar beliau lagi, rondaan lebih kerap turut dibuat bagi mengelakkan pelajar berkumpul dalam kawasan kampus yang boleh menyumbang kepada merebaknya wabak itu.

 

Tagged under: UniMAP, berita, Covid19,