A+ A A-

COVID 19 : Kebajikan Pelajar IPT Dijaga

PAUH PUTRA, 27 MAC 2020 – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi jaminan kebajikan semua pelajar yang masih kekal berada di universiti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan terus menjadi keutamaan pihak universiti.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mansor Osman berkata, meskipun tempoh PKP dilanjutkan ke 14 April, KPT percaya pihak universiti telah mempunyai perancangan yang sistematik dan meminta waris atau keluarga pelajar menghormati keputusan yang telah di buat oleh universiti.

“Universiti buat keputusan ada sebab tertentu dan pastinya ada sebab yang kukuh. Justeru, saya pohon sangat kefahaman daripada ibu bapa untuk terus membiarkan pelajar kekal tinggal di pusat penginapan di universiti sepanjang tempoh PKP ini.

“Percayalah, Universiti sayang para pelajar sama seperti ibu bapa sayang anak-anak. Semua universiti telah bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan, dan segala keperluan pelajar kita akan cuba penuhi terutama dalam tiga aspek iaitu makanan (kebajikan), kesihatan dan keselamatan,” ujarnya ketika lawatan ringkas ke Bilik Bencana Covid-19 di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini hari ini.



Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Dr. R Badlishah Ahmad, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Mohd Rizal Arshad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan.

Selain meninjau fasiliti dan kebajikan pelajar, Dr. Mansor turut diberikan taklimat mengenai Bilik Gerakan Bencana UniMAP serta inisiatif penyelidikan komuniti yang dihasilkan bagi membantu pengurusan dan pengoperasian wabak Covid-19 ini.

Dr. Mansor seterusnya berkata, dalam situasi pendemik dengan jumlah kes yang telah melepasi paras 2,000 orang, KPT dan Universiti amat berharap agar ibu bapa faham dengan situasi yang melanda negara pada masa kini yang memerlukan semua untuk kekal berada di lokasi sedia ada dan ini termasuklah mengurangkan pergerakan pelajar dari satu tempat ke tempat yang lain.

Jelasnya, selain peruntukan yang disalurkan oleh KPT, beliau juga amat berpuas hati dengnan komitmen dan inisiatif sebahagian besar universiti termasuk UniMAP yang mewujudkan tabung bantuan bencana masing-masing khusus untuk kebajikan pelajar.

“Inisiatif ini sangat baik, dan saya percaya Malaysia memiliki ramai dermawan. Dalam keadaan sekarang, ramai yang akan tampil ke hadapan dan memberikan sokongan kepada pihak-pihak yang memerlukan dan UniMAP dalam pembentangan tadi juga telah berjaya mendapat sumbangan keseluruhan bernilai hampir RM70,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan.

“Dan apa yang lebih penting, saya amat berpuas hati dan bangga dengan para pelajar yang mempunyai semangat yang luar biasa untuk bersama-sama dengan kerajaan dan universiti untuk mengharungi masalah ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dr. Mansor berkata, beliau juga amat berbangga dengan pelbagai inisiatif penyelidikan yang dilaksanakan oleh penyelidik UniMAP terutama teknologi koordinat Sistem Kedudukan Global (GPS) yang dapat memadankan data pelajar dengan kawasan zon merah Covid-19.

“Dalam konteks ini, saya melihat para pensyarah dan penyelidik ini cepat bertindak balas dalam meyediakan penyelesaian masalah kepada isu-isu yang timbul sepanjang tempoh wabak ini,” katanya lagi.

Tagged under: UniMAP, berita, Covid19,