A+ A A-

Kejayaan Pelajar-pelajar Tahun Akhir PPK Mikroelektronik mengharumkan nama UniMAP

Beberapa projek pelajar-pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Mikroelektronik telah mencatat kejayaan membanggakan di peringkat kebangsaan baru-baru ini, sekaligus menaikkan nama UniMAP

Pelajar tahun akhir program Elektronik, Leong Ming Pei (gambar) telah dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Inovasi (Innovation Award) oleh IEEE Circuits and Systems (CAS) pada tahun ini. Projek pelajar yang bertajuk “Image Encryption using FPGA” yang diselia oleh pensyarah PPK Mikroelektronik, Puan Siti Zarina binti Md Naziri, telah dipilih berdasarkan laporan projek yang menzahirkan inovasi dalam bentuk teori serta aplikasi bagi litar dan sistem. Pelajar tersebut telah menerima sijil dan honorarium bernilai RM200 dan disampaikan dalam satu majlis IEEE CAS Hi-Tea pada 29 Jun 2013 bertempat di Residence Hotel, UNITEN.

Leong Ming Pei (kanan) menerima anugerah daripada pihak IEEE CAS Malaysia

Sementara itu, dua pasukan PPK Mikroelektronik telah memenangi anugerah dalam acara pertandingan ‘Innovate Malaysia Design Competition 2013 Grand Finale’,  yang telah diadakan di Hotel Equatorial, Pulau Pinang pada 4 Julai 2013. Pertandingan ini telah dianjurkan oleh gabungan beberapa syarikat industri multinasional terkemuka seperti Agillent, Altera, Intel, National Instruments, dan Silterra. Pertandingan ini dibahagikan kepada lima laluan utama berdasarkan teknologi syarikat-syarikat tersebut.

Pertandingan berprestij ini telah bermula sejak daripada bulan November 2012 dengan jumlah 365 pasukan peserta yang berjaya melalui peringkat saringan. Para peserta telah diberi dua sesi latihan teknikal dan satu sesi latihan “softskill” untuk menjayakan projek masing-masing. Kumpulan-kumpulan ini telah disenarai-pendekkan lagi kepada 25 pasukan bagi pertandingan akhir, di mana terdapat 5 pasukan peserta pada setiap laluan.

Tan Chiang Li, pelajar program kejuruteraan Mikroelektronik, telah merangkul tempat ketiga bagi laluan Altera dengan projek bertajuk “FPGA Based GSM Anti Cable Theft Alarm System For Copper Cable Using 555 Timer”, yang diselia bersama oleh En. Mohd Natashah bin Norizan dan Cik Ili Salwani bt  Mohamad.

Tan Chiang Li (3 dari kanan) bersama penyelia merakamkan saat kemenangan

Sementara itu, satu pasukan lagi telah mendapat hadiah saguhati bagi laluan Silterra, dengan projek bertajuk “An Analysis of Fast CMOS Design Methods”. Pasukan ini terdiri dari Mohd Ridzuan bin Muda serta Mohamad Faris bin Mohamad Fathil, kedua-duanya dari program kejuruteraan Elektronik, dan diselia oleh Puan Norina bt Idris.

Mohd Ridzuan (4 dari kanan) dan Mohamad Faris (3 dari kanan) bersama cek  kemenangan