A+ A A-

UniMAP Manfaatkan Teknologi Percetakan 3D Hasilkan Pelindung Muka

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 31 Mac – Dalam menghadapi wabak Covid-19 yang melanda negara dan global, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi bagi menghasilkan keperluan barisan hadapan.

Dengan menggunakan teknologi percetakan tiga dimensi (3D) dengan perisian rekabentuk tiga dimensi, Kelab Robotik dan Kelab Staf Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan (SCCE) di bawah seliaan Prof Madya Dr Azremi Abdullah Al-Hadi menghasilkan pelindung muka (face shield) .

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata pelindung muka itu dihasilkan menggunakan bahan filamen Polyactic Acid atau Polylactide (PLA) iaitu thermoplastic yang diperbuat daripada sumber yang oleh diperbaharui seperti tepung jagung, ubi atau tebu.

 

Ujarnya, empat mesin cetak 3D digunakan dengan keupayaan pengeluaran sehari adalah 40 hingga 50 unit dengan setiap satu mengambil masa lebih kurang satu jam untuk disiapkan.

“Kita mempunyai stok filamen yang mencukupi dengan anggaran kos pengeluaran setiap pelindung muka itu dianggarkan sekitar RM2.00 termasuk filamen PLA, PVC pelindung lut sinar PVC dan kos elektrik,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini.

Projek berkenaan melibatkan ahli kedua-dua kelab berkenaan iaitu Ir. Zahari Awang Ahmad, Muhamad Asmi Romli, Dr. Shuhaizar Daud, Che Muhammad Noor Che Isa, Dr. Rafikha Aliana A.Arof, dan Dr. Norfadila Mahrom selain menggunakan fasiliti surau serta tenaga kerja dikalangan ahli jawatankuasa surau Taman Gemilang, Jitra untuk operasi percetakan.

Dalam pada itu Dr Azremi berkata pasukan berkenaan menjangkakan akan terus mengeluarkan produk ini selagi perlu dalam tempoh krisis Covid-19 bagi membantu pekerja perubatan bahagian hadapan mengelakkan bahagian muka mereka daripada terbuka kepada (direct exposure) pesakit pembawa virus.

“Antara pihak yang telah menerima pelindung muka berkenaan ialah 20 unit di Rumah Sakit Angkatan Tentera Kepala Batas Kedah, 50 unit kepada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu Dato’ Norsabrina Mohd Noor, serta Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Tuanku Fauziah.

“SCCE turut bekerjasama bersama guru Fizik Maktab Rendah Sains Mara Kubang Pasu serta beberapa pihak lain menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan pelindung muka berkenaan,“ kata beliau sambil memaklumkan SCCE turut menerima pinjaman enam unit pencetak 3D daripada individu dan satu unit daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah bagi meneruskan usaha pencetakan dan penyediaan pelindung muka itu.

Tagged under: UniMAP, berita, Covid19,