A+ A A-

UniMAP TAWAR PERKHIDMATAN TELE-KAUNSELING KEPADA MASYARAKAT

Oleh : Nurul Aida Othman

KANGAR, 4 April - Menyedari situasi negara berdepan dengan masalah pandemik COVID-19 dan tekanan masyarakat mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpanggil untuk berkongsi perkhidmatan tele-kaunselingnya bersama masyarakat awam. 


Perkhidmatan ini dilaksanakan pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang.

Tele-kaunseling ini diketuai oleh Prof Madya Dr Huzili Hussin yang juga dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) bersama-sama rakan kaunselornya iaitu Nur Aimi Muslim, Wan Saniah Wan Yahya, Dr Mohd Arsad Johanis, dan Dr Nurul Naimah Rose.



Menurut Dr Huzili, rakyat semestinya semakin runsing apabila tempoh PKP dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April ini.

“Atas dasar itu, UniMAP terpanggil untuk memperluaskan perkhidmatan kaunseling kami kepada orang ramai dan diharap ia mampu membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi mereka.

“Antara isu yang boleh dibincangkan ialah psikologi, peribadi, keluarga, personaliti, kerjaya dan perhubungan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujarnya lagi, sesi kaunseling ini dijalankan melalui atas talian sama ada perbualan telefon atau perbualan melalui whatsapp bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Sesiapa jua yang menginginkan perkhidmatan tele-kaunseling ini boleh membuat pendaftaran melalui https://forms.gle/fGxEDg8W6WT9J7FH8.

“Masukkan isu yang dihadapi dan pilihan tarikh serta masa untuk sesi tersebut, pihak kami akan aturkan jadual dan kaunselor yang bersesuaian untuk isu yang dipilih,” kata Dr Huzili.

Tambahnya, setiap sesi akan berlangsung maksimum selama satu jam dan beliau menyasarkan sedikit sebanyak sesi-sesi ini mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi masyarakat.

Malah beliau berharap dengan adanya perkhidmatan tele-kaunseling ini secara tidak langsung akan turut membantu negara memutuskan rantaian penularan wabak tersebut.

Orang ramai yang inginkan perkhidmatan tele-kaunseling UniMAP, sila membuat pendaftaran di https://forms.gle/fGxEDg8W6WT9J7FH8 atau hubungi Puan Aimi di talian 013 441 3696 untuk maklumat lanjut.

 

Tagged under: UniMAP, berita, Covid19,