A+ A A-

Inovasi Kotak Penggera UniMAP Mudahkan Kakitangan Kesihatan

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

ARAU, 6 April - Cetusan idea untuk menghasilkan kotak penggera sampel darah bermula apabila melihat kaedah konvensional memiliki kelemahan tersendiri apabila petugas tidak mengetahui wujud sampel baharu yang dihantar.

Sekumpulan penyelidik daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakukan lawatan ke Jabatan Patologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah apabila melihat keperluan untuk menggunakan sistem pintar dalam kotak sampel darah.

Pengurus Pusat Kecemerlangan Tenaga Boleh Baharu (CERE) UniMAP Prof Madya Dr Baharuddin Ismail berkata, idea itu tercetus apabila melihat kaedah sedia ada memiliki kelemahannya.

 

“Memandangkan kotak sampel itu tidak mempunyai sebarang sistem penggera, maka petugas tidak mengetahui ada sampel baharu yang dihantar kerana tiada notifikasi.

“Jabatan Patologi hospital ini beroperasi 24 jam dan kebiasaannya kakitangan syif malam bertugas dalam jumlah yang kecil dan ada ketika petugas tidak sempat untuk menyemak kotak sampel berkenaan.

“Jadi, kami penyelidik memikirkan kaedah terbaik untuk memberi maklum kepada petugas bahawa ada sampel baharu di dalam kotak berkenaan jadi kita melakukan inovasi dengan mewujudkan sistem penggera,” katanya.

Selain Dr. Baharuddin, kumpulan penyelidik itu dianggotai oleh Prof Madya Ir Dr Rosnazri Ali, Ir Tunku Muhammad Nizar Tunku Mansor, Mohd Fayzul Mohammad, Syukor Abdullah dan pasukan CERE.

Dr. Baharuddin berkata, kotak penggera sampel berkenaan sudah dipasang di Jabatan Patologi HSB dan Hospital Kuala Nerang, Kedah.

Tambah beliau, melalui inovasi itu membolehkan kakitangan jabatan yang terlibat lebih peka apabila ada sampel dihantar ke kaunter penerimaan sekaligus membolehkan spesimen pesakit dianalisa dengan kadar segera demi kepentingan perawatan pesakit.

“Kotak penggera itu setidak-tidaknya dapat melancarkan urusan perkhidmatan jabatan berkenaan terutama ketika hospital sedang sibuk menghadapi penularan COVID-19 ketika ini,” kata beliau.

 

 

Tagged under: UniMAP, berita, Covid19,