A+ A A-

TELEKOM SUMBANG RM10,000 UNTUK TABUNG BANTUAN BENCANA COVID -19 UniMAP

Oleh : Mohd Basri Basir

 ARAU, 8 April 2020 – Telekom Malaysia Bhd. (TM) menyumbangkan wang tunai berjumah RM10,000 untuk Tabung Bantuan Bencana COVID-19 (TBCC) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sumbangan itu bertujuan bagi membantu para pelajar yang tidak dapat pulang ke rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan COVID-19.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata pihak universiti berbesar hati dengan sumbangan  yang diberikan dan ia sedikit sebanyak dapat membantu menampung keperluan pelajar sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

 

“Saya amat berterima kasih diatas keprihatinan penyumbang yang terdiri dari pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang bermurah hati bagi membantu pelajar-pelajar UniMAP.

“Kita terus mengalu-alukan sebarang sumbangan, bukan saja dalam bentuk wang tunai atau barangan keperluan termasuk barangan mentah seperti ikan, ayam dan lain-lain lagi bagi menampung keperluan pelajar,”katanya ditemui selepas Program Perjumpaan Mingguan Bersama Naib Canselor di sini, hari ini.

Sementara itu, majlis penyerahan sumbangan TBCC disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah, Kampus UniMAP Pauh Putra.

Pada majlis itu, UniMAP juga turut menerima sumbangan daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik (PPKSE) UniMAP dan Persatuan Alumni UniMAP berupa barangan bernilai RM3,000 dan   RM1,000 manakala pusat vendor makanan di Kampus Uniciti Alam,Warungteh pula memberi sumbangan makanan berjumlah RM500.

Mengulas lanjut, Dr. R. Badlishah berkata TBBC akan terus dibuka kepada orang awam yang bermurah hari untuk menderma. Sumbangan berupa wang tunai boleh dilsalurkan melalui akaun Bank Muamalat Malaysia Bhd.   (0901-001234-71-0) atas nama Universiti Malaysia Perlis.