A+ A A-

Sayur, Buah dan Makanan Laut Rezeki Pelajar Penempatan Berpusat UniMAP

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

 

ARAU, 8 April – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Demikianlah pepatah yang boleh diibaratkan kepada pelajar yang menginap di penempatan berpusat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus universiti itu, di sini.

Ini adalah kerana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Kedua, rezeki sentiasa berpihak kepada mereka kerana bukan sahaja menerima bantuan berupa barangan kering seperti beras, biskut, gula dan mee segera malah turut menerima sumbangan sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan laut.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata pihak Mikro Malaysia mengambil pendekatan berbeza kerana memberi sumbangan sayur dan buah-buahan kepada pelajar universiti itu.



Ujarnya, antara sayur yang disumbangkan adalah terung, timun, kobis, petola, ubi dan peria serta buah-buahan pula seperti buah tembikai dan mangga manakala syarikat Blue Archipelago memberi sumbangan udang sebanyak 30 kilogram.

“Lebih memudahkan apabila pihak kafeteria secara sukarela memasak bahan-bahan berkenaan bersama bahan tambahan daripada pihak mereka sekaligus menjadikan menu untuk pelajar lebih pelbagai untuk dinikmati, “ kata beliau.

Terdahulu, hampir 700 pelajar universiti itu menginap di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah dan Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman yang dijadikan sebagai penempatan berpusat sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Tambah beliau, selain sumbangan berkenaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis turut memberi sumbangan berupa 1000 kilogram beras pulut manakala 300 tongkol jagung daripada Yayasan Food Bank.

“Sumbangan beras pulut dan jagung itu sudah pasti sumbangan menjadi menu tambahan yang pelbagai untuk diagihkan kepada pelajar yang menginap di sini, misalnya pulut kuning.

Pendek kata, sentiasa ada saja sumbangan kepada pelajar-pelajar di sini sama ada berbentuk kewangan mahupun makanan ,” kata beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang pelajar Kejuruteraan Kimia (Teknologi Makanan) Yusrina Hadirah ,21, berkata dia dan rakan-rakan bersyukur kerana rezeki mereka di penempatan berpusat itu tidak pernah putus kerana ramai pihak begitu prihatin dengan mereka.

Katanya, lebih menarik mereka juga berpeluang menikmati mee udang apabila ada pihak yang memberi sumbangan udang segar manakala pihak kafeteria sudi memasakkan menu istimewa itu kepada mereka.

“Seperti yang diketahui, bukan mudah mahu menikmati makanan seperti ini pada masa sekarang tambahan kami hanya perlu berada dalam kawasan kolej kediaman sahaja. “ katanya.

Mengenai aktiviti sepanjang PKP di penemapatan berkenaan, Yusrina berkata dia juga menyertai aktiviti kesukarelawan iaitu membantu menyiapkan pelindung muka untuk diagihkan kepada barisan hadapan dalam menghadapi Covid-19 bagi mengisi masa lapang.

“Minggu akademik juga telah berjalan seperti biasa, justeru pada waktu malam kami akan menyiapkan kerja yang diberikan pensyarah seperti biasa menjadikan kehidupan kami di sini sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti, “ katanya.