A+ A A-

COVID 19 : Universiti kena jaga kesihatan mental pelajar - BH

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan kesihatan mental pelajar yang diarah terus kekal di kampus kediaman sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir menjadi agenda utama pihak universiti awam (UA) bagi memastikan mereka tidak tertekan sepanjang tempoh itu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan, berkata pihaknya menyedari tekanan penuntut mungkin lebih tinggi berbanding dua fasa PKP sebelum ini kerana pastinya menjadi keinginan penuntut untuk pulang bersama keluarga khususnya sempena kedatangan Ramadan.

Justeru, katanya, pihak universiti mengambil langkah pendekatan berbeza kepada penuntut sepanjang PKP fasa ketiga termasuk melaksanakan 18 aktiviti bagi memastikan hari mereka penuh diisi dengan pelbagai kegiatan termasuk pada Ramadan.

 

“Kita faham tahap tekanan ini mungkin akan lebih atas sebab itu kita cuba ‘melayan’ kehendak penuntut contohnya berkaitan makanan, kita sentiasa ubah menu mengikut selera mereka selain itu kita juga adakan aktiviti seperti program sembang santai bersama ikon.

“Esok kita akan adakan perbincangan mengenai program yang diadakan sempena Ramadan dan ia mesti berlandaskan nasihat daripada Jabatan Mufti, ” katanya yang memberitahu kira-kira 700 penuntut UniMAP berada di kampus kediaman, ” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd Fo’ad berkata, pihaknya menasihati penuntut supaya berjiwa besar dengan melihat kepentingan negara berbanding keperluan diri sendiri kerana kepulangan mereka ke kampung mungkin boleh mendatangkan mudarat.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya (UM), Prof Dr Abdul Aziz Abdul Raman, pula berkata pihaknya memahami perasaan penuntut yang mahu berada di sampung keluarga namun pengorbanan perlu dilakukan untuk negara.

Beliau berkata, sepanjang fasa ketiga PKP ini, pihak universiti akan memantau tahap kesihatan mental penuntut namun dilakukan dengan amalan penjagaan dituntut Kementerian Kesihatan seperti penjarakan sosial.

“Kita faham kalau kita sendiri pun akan tertekan kerana cara hidup kita sudah berubah begitu juga penuntut namun kita faham keputusan dilakukan kerajaan ini adalah atas faktor keselamatan dan dalam masa sama kita jaga penuntut kita khususnya dalam aspek kesihatan mental.

“Saya berharap penuntut dalam tempoh PKP fasa ketiga ini mampu membuat yang sebaiknya...mana tahu keadaan selepas ini akan lebih baik dan kita boleh meraikan Hari Raya, ” katanya yang memberitahu seramai 1,686 penuntut UM berada di kampus kediaman kini.

Beliau berkata, sepanjang Ramadan yang akan disambut pada 23 April ini, pihak universiti akan menutup surau di kolej kediaman masing-masing bagi mengelakkan pengumpulan berlaku dan penuntut diminta menjalankan aktiviti keagamaan seperti solat tarawih di bilik mereka.

Pengarah Pusat Kesihatan Universiti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Azman Abas, berkata UKM akan memberikan perkhidmatan terbaik dalam menjaga kebajikan penuntut yang tinggal di kampus kediaman sepanjang PKP fasa ketiga ini.

Beliau berkata, ia termasuk penyediaan khidmat tele kaunseling secara 24 jam bagi memastikan penuntut boleh mengadu kepada kaunselor jika mengalami tekanan sepanjang tempoh PKP ini.

“Antara aduan yang diterima kebiasaannya disebabkan mereka terlalu rindu dengan keluarga atau bosan dengan kehidupan sekarang namun bagi penuntut yang mengalami masalah psikiatri mereka boleh menghubungi tele-psikiatri oleh Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, ” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun tahap status kesihatan mental penuntut di UKM disifatkan masih bagus berikutan melalui kaji selidik yang dijalankan minggu ini mendapati hanya kira-kira 5.3 peratus sahaja daripada 1,420 penuntut yang berada di dalam kampus mempunyai tekanan tinggi berbanding dengan mereka di kampung iaitu sebanyak tujuh peratus.

Katanya, semua aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan ini akan dilaksanakan secara persendirian oleh penuntut di bilik masing-masing bagi memastikan keselamatan mereka.