A+ A A-

MoTECH UniMAP HASILKAN MESIN DISINFEKSI KHUSUS UNTUK KEGUNAAN JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT PERLIS

Oleh : Suhana Abd Mutalib

Kangar – Penyelidik Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Teknologi Sukan Permotoran (MoTECH) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menghasilkan mesin disinfeksi khusus untuk proses penyahkuman bangunan dan jalan bagi kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBDP) negeri Perlis.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, projek tersebut dimulakan awal April lalu, susulan permintaan dari pihak JBDP yang ingin mencari solusi kepada penggunaan alat manual bagi proses tersebut yang bukan sahaja mengambil masa yang lama malah turut menggunakan tenaga manusia yang ramai.

Menurut beliau, selain itu, penggunaan alat sedia ada juga mempunyai kapasiti pengisian cecair yang terhad, justeru proses pengendalian menjadi agak terbatas dan mengakibatkan proses disinfeksi bangunan dan kawasan yang berisiko jangkitan wabak Covid-19 agak terbatas.

“Saya dimaklumkan, pihak pengurusan taktikal JBDP telah berbincang Motech UniMAP untuk penentuan spesifikasi alat tersebut dan hasil kerjasama kedua-dua pihak serta pasukan jurutera MoTECH, alat yag diberi nama Seri Perlis C19 Tactical Mobile Mass Disinfectant Device (SP-C19 TMMD).

 

“Penghasilan alat ini telah melalui proses-proses pemeriksaan dan operasional termasuk simulasi dan pemeriksaan lapangan di Pasar Besar Kangar 21 April lalu sebelum dilancarkan hari ini. Hasil pemeriksaan lapangan, alat ini berjaya mengurangkan kos penggunaan tenaga manusia sebanyak 60 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan SP-C19 TMMD oleh UniMAP kepada JBDP negeri Perlis di sini hari ini. MoTECH UniMAP yang mempunyai kepakaran dalam aspek permotoran sebelum ini telah berjaya mencipta Motosikal Retro yang siap untuk dikomersilkan di Malaysia bersama UniMAP Modenas Reseach Center.

Sementara itu, Pengurus MoTECH UniMAP, Prof. Madya Dr. Shahriman Abu Bakar berkata, SP-C19 TMMD yang boleh dikategorikan sebagai alat pertama di Malaysia untuk kegunaan JBDP mempunyai pelbagai kelebihan antaranya, ia mempunyai dwifungsi iaitu boleh diletakkan diatas trak untuk kegunaan luaran dan juga mempunyai roda untuk digerakkan di dalam bangunan oleh anggota.

Ujar beliau, dari aspek keselamatan, pengendalian alat tersebut adalah berbeza bagi kedua-dua situasi yang mana pengendalian terus oleh anggota di kawasan terbuka perlu dilengkapi pakaian keselamatan memandangkan cecair yang digunakan mempunyai kandungan kimia yang agak tinggi.

Jelasnya lagi, alat SP-C19 TMMD ini mempunyai 3 corong yang boleh dilaraskan secara vertical dan horizontal yang mana ia digunakan untuk pelarasan bagi kegunaan disinfeksi untuk bahagian lantai, dinding dan siling bagunan dengan setiap satunya boleh di pasang atau ditutup mengikut keperluan operasi dan keperluan.

“Alat ini mempunyai 2 punca kuasa , iaitu kegunaan petrol generator 3300 watt yang boleh disambung terus dengan kuasa elektrik bagunan yang memudahkan ia beroperasi di mana-mana sahaja lokasi yang mempunyai punca elektrik.

“Selain itu SP-C19 TMMD juga mempunyai kapasiti tong sebanyak 150 liter dimana ianya boleh beroperasi selama sejam pada keupayaan maksimum operasi menggunakan pam. Pihak MoTECH juga membuka peluang kepada mana-mana agensi lain yang berminat untuk mendapatkan inovasi ini,” katanya.

Tagged under: UniMAP, berita, Covid19,