- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aininulniza
Ibu, Ayah Tunggu Kepulangan Kami!
Oleh : Suhana Abd Mutalib & Mohd Basri Basir
PAUH PUTRA, 28 April - Perasaan teruja jelas tergambar pada wajah pelajar-pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang merupakan salah satu dari sembilan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta yang terlibat dalam proses penghantaran pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing.
Kesemua pelajar terbabit merupakan sebahagian dari pelajar yang kekal berada di asrama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu yang kini telah memasuki fasa keempat pelaksanaan.
Bagi Sharina Tifanny Darias, dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik, beliau memilih untuk pulang menerusi inisiatif kerajaan itu memandangkan ia dilaksanakan mengikut Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ketat dan menjamin keselamatan para pelajar secara keseluruhannya.
Ujarnya, SOP tersebut adalah hampir menyamai inisiatif yang dilaksanakan UniMAP pada awal pelaksanaan PKP dahulu iaitu antaranya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, memastikan penjarakan sosial dan mengutamakan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri.
“Namun saya melihat inisiatif tambahan yang dilaksanakan oleh kerajaan iaitu proses disinfeksi beg pelajar dan kenderaan serta membabitkan penglibatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Daerah sebagai satu langkah yang amat baik,” ujarnya.
Rakannya, Muhd Shahril Hafiz dari PPK Mikroelektrik pula berkata, selepas lebih sebulan memilih untuk tinggal di Kolej Kediaman UniMAP sepanjang tempoh PKP sebelum ini, dia akhirnya memilih untuk menyertai program penghantaran pulang pelajar yang dianjurkan oleh kerajaan pada kali ini.
“Bagi saya ini merupakan peluang yang mungkin datang hanya sekali sahaja ekoran situasi PKP yang dicetuskan oleh Covid-19 ini tidak dapat dipastikan akan berlanjutan untuk tempoh berapa lama.
“Tambahan pula kita kini berada di dalam bulan Ramadan dan akan menyambut hari raya tidak lama lagi, justeru saya rasa pulang ke pangkuan keluarga merupakan pilihan terbaik,” ujarnya.
Seorang lagi pelajar, Wan Nurhasrina Hayadee dari PPK Komputer dan Perhubungan pula memilih untuk pulang ke kampung selepas segala tugasan dan kerja yang diberikan oleh pensyarah telah dapat disiapkannya.
“Sebelum ini saya melihat tinggal di asrama merupakan pilihan terbaik disebabkan kerajaan dan UniMAP sendiri tidak pernah mengenepikan kepentingan kami dan sentiasa memastikan kebajikan dan keselamatan kami terjaga.
“Namun selepas berjaya menyiapkan semua tugasan dan projek yang diberikan pensyarah, adalah lebih baik untuk saya pulang dan mengimarahkan bulan Ramadan bersama keluarga tersayang,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, kesemua 491 pelajar UniMAP mula menjalani pemeriksaan kesihatan secara berperingkat hari ini sebelum dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Menurut beliau, seramai 12 pelajar teribat dalam peringkat pertama malam ini yang akan bergerak ke zon tengah menggunakan bas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala 70 orang pelajar lagi terlibat dalam peringkat kedua membabitkan pergerakan ke zon utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menggunakan lapan buah bas UniMAP dan empat van malam esok.
“Sebagaimana Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, kesemua pelajar ini perlu dipastikan mempunyai tahap kesihatan yang terbaik dan tidak mempunyai sebarang gejala Covid-19 sebelum dibenarkan menaiki bas.
“Proses ini akan diteruskan membabitkan 66 pelajar zon timur pada 2 Mei ini, 75 pelajar ke zon tengah 12 Mei ini dan selebihnya membabitkan pelajar dari Sabah dan Sarawak yang belum diputuskan tarikhnya,” ujarnya.
Prof. Dr. Mohd. Foad seterusnya berkata, walaupun UniMAP terlibat dalam proses penghantaran pulang pelajar, namun terdapat sekitar 220 pelajar memilih untuk terus kekal di asrama justeru pihaknya akan terus memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terjamin.
--Habis