A+ A A-

UniMAP Anjur Karnival Kerjaya e-NICE 5 Secara Dalam Talian

Oleh : Aininulniza Binti Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 5 Mei - Walaupun negara kini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited meneruskan penganjuranprogram tahunannya iaitu karnival kerjaya khusus untuk para pelajar tahun akhir.

Namun, bagi menyesuaikan dengan situasi semasa program yang dinamakan Karnival Kerjaya Northern Industrial Career Engagement 2020 (e-NiCE5)  itu dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya dengan pembabitan sektor industri yang  memberansangkan.

Program anjuran Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri & Masyarajat (CEICNet), Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar (P3P), Pusat Pengurusan & Pembangunan Digital (DMDC) UniMAP dengan kerjasama pihak Talentbank itu berjaya menarik penyertaan hampir 50 syarikat dan agensi kerajaan dari pelbagai sektor industri.

 

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata dengan mengambil kira pandangan dan saranan dari kerajaan agar membiasakan diri dengan kehidupan norma baharu, UniMAP mengambil keputusan melaksanakan eNICE5 walaupun melalui alam maya.

“Masa hadapan serta keupayaan pelajar mendapat pekerjaan selepas bergraduasi merupakan antara fokus utama universiti justeru adalah kewajipan kami di UniMAP untuk menyediakan akses kepada pelajar untuk mendapatkan pekerjaan terutama  dengan keperluan pekerjaan dunia hari ini sangat dipengaruhi oleh ledakan teknologi dan globalisasi termasuk pengapdatasian Revolusi Industri 4.0.

“Ini adalah antara inisiatif universiti bagi menyediakan peluang kepada 3676 pelajar yang bakal bergraduat bagi tahun ini selain terdapat 1936 pelajar kini sudah bersedia untuk mendapatkan tempat untuk latihan industri dalam pelbagai bidang,” kata beliau ketika berucap secara langsung di laman sosial rasmi Facebook UniMAP sebagai gimik perasmian e-Nice5, hari ini.

Turut serta ketika gimik perasmian secara langsung berkenaan ialah Penolong Naib Canselor Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat UniMAP, Prof. Emeritus Dato’ Wira Salleh Din , dan Ketua Bahagian Kerjaya & Keusahawanan pusat berkenaan Dr. Shafriza Nisha Basah.

Tambah Dr R Badlishah, bagi sesi ‘Career Talk’ e-NICE5 kali ini turut diadakan secara atas talian menerusi Webinar membabitkan enam industri iaitu LinkedIn, Unilever, Top Glove, Intel,Keysight, dan Malayan Flour Mills.

“Secara tidak langsung ia adalah kaedah yang selamat daripada berkumpul memandangkan kita sedia maklum, wabak Covid-19 telah memberi kesan yang besar kepada kita semua.

“Justeru, adalah besar harapan saya dan pihak penganjur agar pelajar mengambil peluang ini sebaik-baiknya walaupun sebahagian besar anda kini berada di kampung bersama keluarga,” kata beliau.

Karnival kerjaya NICE itu mula dianjurkan oleh UniMAP sejak 2016 sebagai acara tahunan iaitu dengan mengadakan pameran kerjaya dan sesi ‘Career Talk” sebelum ini dengan sasaran kepada pelajar UniMAP dan Institut Pengajian Tinggi di wilayah utara.

 

Tagged under: UniMAP, berita,