A+ A A-

UniMAP Bersedia Terima Kemasukan Pelajar Mulai 1 Julai

Oleh : Suhana Abd Mutalib

Arau – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah membuat persiapan sebaiknya untuk menerima pelajar kembali ke kampus mulai 1 Julai ini dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UniMAP kini bersedia sepenuhnya menerima pelajar kategori pertama iaitu pelajar pasca siswazah mod penyelidikan untuk menyambung kembali penyelidikan masing-masing.

Menurut beliau, langkah pertama yang perlu di ambil oleh setiap pelajar pascasiswazah yang berhasrat menyambung penyelidikan ialah dengan mengemukakan permohonan menerusi sistem yang telah dibangunkan dan perlu mengambil kira kelulusan dari penyelia serta dekan pusat pengajian masing-masing.

 

Selain itu, ujarnya, pihak Pusat Pengajian Siswazah (PPS) UniMAP dengan kerjasama Pusat Pengurusan dan Pembangunan Digital (DMDC) akan menggunakan teknologi koordinat Sistem Kedudukan Global (GPS) untuk mengesan kedudukan semua pelajar pascasiswazah sebelum kelulusan kembali ke kampus diberikan.

“Kesemua pelajar terbabit juga perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan bagi memudahkan proses saringan dijalankan. Bagi pelajar dari Perlis dan beberapa kawasan di Kedah, mereka dibenarkan terus menyambung penyelidikan tanpa melalui proses kuarantin.

“Pelajar yang datang dari zon kuning atau merah pula perlu menjalani kuarantin mengikut ketetapan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Kebangsaan (CPRC) iaitu antara tujuh hingga 14 hari sebelum dibenarkan meneruskan penyelidikan masing-masing,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Prof. R Badlishah seterusnya berkata, proses kerja bagi menerima para pelajar pascasiswazah telah lengkap sepenuhnya dan setiap pelajar bolehlah menghubungi CGS UniMAP untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Rizal Arshad berkata, UniMAP telah memutuskan untuk mengendalikan kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik 2020/2021 akan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya.

Ujar beliau, ia adalah selaras dengan hasrat KPT yang meminta supaya semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu dilaksanakan secara dalam talian dan bukannya secara bersemuka sehingga hujung tahun ini.

Bagaimanapun, ujar beliau, UniMAP juga telah membangunkan SOP bagi menerima kemasukan pelajar kategori kedua dan ketiga iaitu pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda yang perlu menjalankan kerja amali dan makmal serta pelajar yang tiada akses untuk kembali ke kampus bermula 1 Julai ini.

“Persediaan ini merangkumi pelaksanaan SOP saringan kesihatan pelajar di kampus dan koordinasi penempatan berpusat di asrama penginapan pelajar untuk pengawasan dan pemantauan yang lebih berkesan.

“Pada masa sama, kita juga akan memastikan pelajar sentiasa mematuhi penjarakan sosial dan amalan penjagaan kesihatan ketika mengikuti sesi makmal dan penilaian berkaitan dan menyediakan ruang PdP yang mematuhi SOP.