A+ A A-

UniMAP LAKSANA CABUTAN UNDIAN PROJEK DALAM TALIAN

Oleh; Mohd Basri Basir

PAUH PUTRA, 18 JUN 2020 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil langkah menggunakan norma baharu yang ditetapkan kerajaan  bagi mencegah penularan COVID-19 dengan mengadakan Sesi Cabutan Undian Projek Rangsangan Ekonomi  (PRE-2020).

Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad, berkata, majlis cabutan diadakan secara siaran langsung menerusi Facebook rasmi UniMAP bagi 18 projek berjumlah tiga juta ringgit secara adil dan telus.

“Majlis pengundian ini diadakan secara dalam talian selaras dengan saranan kerajaan bagi mencegah penularan COVID-19 kerana dapat mengurangkan pengumpulan ramai orang.

 

“Undian ini melibatkan 58 syarikat kontraktor yang telah disenarai pendek oleh Jabatan Pembangunan dan Bendahari UniMAP,” katanya dalam ucapan aluan Majlis Cabutan Undi Bagi Projek Pakej Rangsangan Ekonomi, di Auditorium UniMAP, Kampus Pauh Putra, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan, Pengarah Pusat Penyelidikan UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah. Turut hadir,  Syed Aminuddin Syed Ali, wakil Yang DiPertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Perlis

Ujar beliau lagi, PRE 2020 merangkumi peruntukan khas sebanyak RM3 juta bagi pelaksanaan projek kecil untuk membaik pulih infrastruktur di UniMAP.

“Kita berharap dengan peruntukan ini secara tidak langsung akan dapat membantu merancakkan kembali aktiviti ekonomi Negeri Perlis terutamanya bagi Parlimen Arau,” kata beliau.

Untuk rekod, Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE2020) telah diumumkan Perdana Menteri pada 27 Mac lalu bertujuan bagi melaksanakan projek berskala kecil di seluruh negara yang melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam bagi merangsang aktiviti ekonomi dan memberi manfaat kepada kontraktor Bumiputera.