A+ A A-

Sistem Akuaponik RAS Teragih & Cendawan Tiram Jana Pendapatan Pelajar, Komuniti

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

Padang Besar,18 Jun 2020 – Bertujuan bagi menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan agro berasaskan semua aktiviti di dalam rantaian nilai sektor pertanian di samping menjana pendapatan golongan B40, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membangunkan Sistem Akuaponik RAS Teragih.

Sistem berkenaan yang terbahagi kepada dua sub-sistem utama iaitu sub-sistem akuakultur dan sub-sistem hidroponik itu berupaya mengoptimumkan penternakan ikan dan penanaman sayuran secara serentak.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata menerusi sub-sistem akuakultur, penyelidiknya Ts. Ahmad Nasir Che Rosli dan Puan Nurul Afidah Umoruddin memilih ikan kelah dan ikan jade perch manakala bagi sub-sistem hidroponik adalah dengan memilih tanaman sayuran bernilai tinggi.

Katanya, sasaran peserta bagi menjalani program itu adalah pelajar UniMAP yang terdiri daripada golongan B40 dan mempunyai minat sebagai aquapreneur. Selain itu, pemilihan peserta komuniti setempat adalah dari kalangan mereka yang mempunyai rekod sebagai usahawan perternakan ikan.

 

“Seramai 30 pelajar dan 20 penduduk setempat disasarkan terlibat dengan mekanisme pemantauan projek menerusi penyerapan modul penternakan ikan dalam subjek program akademik dengan pembinaan modul yang sistematik untuk pelaksanaan jangka panjang, pemasaran, pengurusan keusahawanan serta penerapan sistem Internet of Things (IoT) dalam pembelajaran,” kata beliau ketika mengiringi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Mansor Othman yang membuat lawatan ke projek berkenaan di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) UniMAP, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UniMAP Prof Dr Mohd Foad Sakdan, Penolong Naib Canselor Keusahawanan dan Kelestarian UniMAP, Prof Emeritus Dato’ Wira Dr Mohd Salleh Din dan Pengarah INSAT Prof Madya Dr Muhammad Syarhabil Ahmad.

Dalam rangka lawatan selama tiga jam itu, Dato’ Dr Mansor dibawa melihat sendiri Sistem Akuaponik RAS Teragih itu dan Projek Tanaman Cendawan Tiram yang dkelolai Prof Madya Dr Zarina Zakaria serta taklimat berkaitan projek-projek berkenaan.

Tambah beliau, ikan kelah dan jade perch menjadi pilihan projek itu memandangkan ia mempunyai permintaan dan nilai pasaran yang tinggi daripada restoran makanan mewah serta penggemar ikan hiasan.

Terdahulu, Dr R Badlishah berkata penyelidikan dalam Projek Tanaman Cendawan Tiram pula sudah dimulakan sejak 2013 membabitkan penyelidikan benih cendawan, penyelidikan sistem tanaman serta projek keusahawanan pelajar dan pemindahan ilmu kepada komuniti.

Tambahnya, senario permintaan di pasaran semakin meningkat terhadap cendawan berkenaan dengan harga pasaran tempatan mencecah RM12 sekilogram mendorong projek tanaman berkenaan direalisasikan sebagai aktiviti keusahawanan pelajar dan juga komuniti.

“Modal permulaan projek ini dianggarkan berjumlah RM41,050 bagi tiga kali tanaman dan ia berjaya menuai 1,282.5 kilogram setiap satu tanaman sekaligus berjaya memperoleh keuntungan sebanyak RM5,120.

“Sepertimana Sistem Akuaponik RAS Teragih yang mendapat sokongan daripada Jabatan Perikanan Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM), dan lain-lain bantuan kewangan Projek Tanaman Cendawan Tiram ini turut mendapat sokongan Lembaga Pertubuhan Peladang dan Jabatan Pertanian,”kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Digital Pusat Pembangunan dan Pengurusan Digital UniMAP, Prof Ir Dr Anuar Mat Safar turut menyampaikan taklimat mengenai penggunaan UniMAP Geo-Location Based Attendance and Analytical System yang menggunakan teknologi Sistem Kedudukan Global (GPS).